Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengisytiharkan dirinya sebagai calon paling layak menerima Hadiah Nobel Keamanan dengan alasan beliau telah berjaya menghentikan beberapa konflik besar di peringkat antarabangsa sepanjang pentadbirannya.
Berucap pada majlis Hari Kebangsaan AS di Iowa, Trump berkata pentadbirannya berjaya mengelak lima negara daripada berperang dan menyelamatkan jutaan nyawa.
Baca juga:
- Pekerja ditahan, didakwa bakar gudang di Ontario, California
- Tujuh anjing ‘hilang’ jadi tular, jalan lebih 17km pulang ke rumah
- Qatar isytihar pegawai Kedutaan Iran sebagai ‘Persona Non Grata’

Menurut beliau, ketegangan antara Kosovo dan Serbia berjaya dihentikan sebelum tercetus perang nuklear. Tambahnya lagi, konflik berdarah antara Congo dan Rwanda yang telah berlarutan selama 30 tahun dan meragut enam juta nyawa juga akhirnya dapat ditamatkan hasil usaha pentadbirannya.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila segala usaha besar yang dilakukannya jarang mendapat pengiktirafan setimpal di peringkat antarabangsa.
“Tetapi Hadiah Nobel Keamanan nanti pasti akan diberikan kepada seorang profesor sekolah yang mungkin anda sendiri tidak pernah dengar namanya,” ujar Trump disambut sorakan penyokong.
Apa lagi yang diumumkan Trump di Iowa?

Dalam ucapannya, Trump turut menonjolkan kekuatan ketenteraan Amerika Syarikat dengan mendakwa kemudahan nuklear Iran telah berjaya dimusnahkan sepenuhnya. Beliau menegaskan angkatan tentera AS kini memiliki kekuatan paling unggul di dunia, lengkap dengan peralatan tercanggih serta pesawat yang mampu terbang tanpa henti selama 37 jam.
Menyentuh soal ekonomi, Trump mendakwa pasaran saham negara itu berada pada tahap terbaik, manakala prestasi ekonomi sepanjang pentadbirannya sebelum ini juga mencapai rekod cemerlang.
“Kini ia akan menjadi lebih hebat. Kita akan jadikan Amerika kuat, selamat dan hebat semula,” katanya dengan penuh keyakinan.
Untuk rekod, Trump telah dicalonkan untuk menerima Hadiah Nobel Keamanan 2026 oleh seorang ahli Kongres Republikan yang mengiktirafkan peranannya dalam membantu mewujudkan gencatan senjata antara Israel dan Iran. – Agensi








