Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Makanan nachos yang dicampur dengan pelbagai bahan seperti daging kisar, ayam, tomato, bawang, dan pelbagai jenis sos homemade pernah menjadi fenomena viral sehingga ramai peniaga mengambil peluang untuk menjualnya.
Pada awal kemunculannya, makanan ini mendapat sambutan hangat apabila pelanggan sanggup beratur panjang semata-mata untuk mencubanya.
Merosot teruk
4 hari lalu, TikToker Nachos Loaded Ganu memuat naik video berdurasi 19 saat yang menunjukkan populariti luar biasa makanan nachos ini. Ramai yang terpengaruh dengan trend tersebut dan berlumba-lumba untuk mencubanya.
Fenomena ini juga menyebabkan semakin ramai peniaga muncul untuk menjual menu yang sama, menjadikannya satu fenomena besar dalam kalangan pengguna media sosial.
Namun, selepas beberapa bulan kemudian, sambutan terhadap nachos viral ini merosot dengan ketara. Dalam video terbaharu yang dimuat naik oleh TikToker yang sama, tiada seorang pun pelanggan kelihatan.
Perubahan mendadak ini mengundang pelbagai reaksi netizen yang berpendapat bahawa makanan viral biasanya hanya popular untuk sementara waktu.
Usah terlalu bergantung pada trend viral
Netizen menyatakan, trend makanan viral sering menjadi tumpuan kerana keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu. Namun, apabila rasa atau kualiti tidak memenuhi jangkaan, pelanggan cenderung untuk tidak mengulang pembelian. Selain itu, harga yang dianggap mahal juga dilihat sebagai faktor utama yang menyumbang kepada penurunan populariti.
Mereka juga berpendapat makanan viral biasanya hanya mendapat sambutan pada peringkat awal kerana dipengaruhi oleh trend semasa. Apabila popularitinya menurun, makanan tersebut tidak lagi menarik minat ramai dan akhirnya hilang dari pasaran.
Beberapa netizen lain turut mencadangkan agar peniaga perlu memberi tumpuan kepada kualiti dan konsistensi rasa untuk mengekalkan pelanggan dalam jangka masa panjang, berbanding hanya bergantung kepada strategi pemasaran viral yang bersifat sementara.
Fenomena ini menjadi peringatan kepada peniaga untuk tidak terlalu bergantung kepada trend viral dan pentingnya mengekalkan kualiti produk bagi memastikan perniagaan kekal relevan serta terus mendapat sambutan dalam pasaran yang kompetitif.








