Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Empat pengamal rawatan tradisional dipenjara 3 tahun selepas serang pensyarah
• Mangsa hilang penglihatan mata kiri dalam kejadian empat tahun lalu
• Mahkamah benarkan penangguhan hukuman, jaminan dinaikkan
Dua individu yang dikenali sebagai Wea Selamos dan Tok Singa bersama dua lagi pengamal perubatan tradisional dihukum penjara selama tiga tahun selepas didapati bersalah mencederakan seorang pensyarah hingga menyebabkan kehilangan penglihatan mata kiri secara kekal.
Keputusan itu dibuat Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Ahad, melibatkan empat tertuduh yang terlibat dalam kejadian yang berlaku pada Ogos 2021, di sebuah rumah tumpangan di Jalan Sultan Yahya Petra, sekitar jam 4 pagi.
Hakim Mohd Zul Zaqikudin Zulkifli memutuskan semua tertuduh bersalah selepas mendapati pembelaan mereka hanya bersifat penafian semata-mata.
Apa sebenarnya yang berlaku?
Mengikut keterangan di mahkamah, kejadian berpunca daripada dakwaan bahawa mangsa mengamalkan rawatan tradisional yang bercanggah dengan ajaran Islam. Perkara itu mencetuskan ketegangan dan akhirnya membawa kepada insiden yang menyebabkan mangsa, Ahmad Shahrill ‘Ariff Zainol, mengalami kecederaan parah.
Mangsa yang ketika itu berusia 43 tahun, mengalami buta kekal pada mata kiri akibat kecederaan dalam kejadian tersebut.
Kesemua tertuduh, Mohd Shamsul Izwan Midin (Wea Selamos), Muhammad Firdaus Mohd Adnan (Tok Singa), Idrees Ishak dan Mohd Eric Mohd Ramli didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Peguam dakwa ada unsur agama
Peguam yang mewakili kesemua tertuduh, Mohd Azrul Hasyimi Mohamad, memohon penangguhan pelaksanaan hukuman dan menjelaskan anak guamnya bertindak kerana percaya mangsa menjalankan rawatan yang menyimpang.
“Tertuduh hanya mahu membetulkan keadaan. Mereka rasa bertanggungjawab kerana mangsa didakwa menggunakan kaedah rawatan yang tidak selari dengan ajaran Islam,” katanya.
Mahkamah membenarkan permohonan penangguhan dengan syarat rayuan difailkan segera. Jumlah jaminan juga dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 bagi setiap tertuduh. Mereka dibebaskan selepas menjelaskan jaminan.
Sumber: Sinar Harian