Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menegaskan tindakan tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang mencetuskan provokasi sehingga mengganggu kelancaran operasi pengosongan 37 unit rumah teres di Kampung Sungai Baru, di sini, hari ini.
Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan mengikut perintah mahkamah dan polis akan bertindak “very strict, very firm” sekiranya terdapat cubaan menentang arahan tersebut.
“Pengosongan ini perlu dibuat hari ini, apa cara sekalipun. Kalau ada pihak yang sengaja mencetuskan kekacauan, saya akan lawan habis-habisan. Saya tidak akan benarkan perkara seperti ini berlaku.
“Tindakan mencederakan pegawai saya dengan membaling objek adalah perkara yang saya cukup marah. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana kita hanya melaksanakan undang-undang,” katanya.
Fadil turut memaklumkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman cedera dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala seorang individu dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Baca juga:
- ‘Kalau ikhlas berjuang untuk Melayu, push pemaju siapkan cepat projek’ – Penduduk Kg Sungai Baru
- ‘Tindakan tegas terhadap provokasi ganggu operasi pengosongan Kampung Sungai Baru’ – Ketua Polis KL
- ‘Bukan semua yang hadir adalah penduduk asal, ramai orang luar buat kecoh’ – Syed Badli
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya penglibatan orang luar yang hadir ke kawasan berkenaan bagi mencetuskan huru-hara.
“Malah, penduduk sendiri mengatakan ada orang luar yang buat benda-benda begini. Itu yang kita tidak mahu berlaku. Semua pihak perlu faham ini adalah proses undang-undang, bukan tindakan sesuka hati,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman cedera ketika mengawal keadaan semasa operasi pemotongan bekalan elektrik di beberapa rumah sekitar Kampung Sungai Baru. Suzilme cedera selepas terkena balingan batu.
Sumber: Kosmo