Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Susulan kebimbangan yang disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai penggunaan bahasa asing yang meluas di sekitar pusat beli-belah Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memandang serius isu berkenaan.
Menerusi kenyataan di Facebook, DBP menyambut baik dan menghargai kecaknaan Tun dan masyarakat khasnya dalam memastikan bahasa kebangsaan sentiasa dimartabatkan.
“DBP mengambil maklum akan kenyataan Tun dan menghargai kecaknaan Tun dan masyarakat dalam memastikan bahasa kebangsaan sentiasa dimartabatkan selaras dengan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan.
“DBP dan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa bekerjasama memantau penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan awam.
“Hal ini selaras dengan arahan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada semua PBT yang mewajibkan pengiklan serta agensi pengiklanan di Malaysia mematuhi peraturan seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Kecil Iklan tentang penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan iklan di tempat awam serta penggunaan nama khas,” katanya.
Justeru itu, dalam kenyataan tersebut juga menyebut tindakan berkenaan tidak wajar dibiarkan.
“Semua pihak harus bersedia memikul tanggungjawab bersama untuk memastikan bahasa Melayu pada kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara,” katanya.
Sumber: DBP