Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Seorang lelaki di Palembang menikam ketua jawatankuasa ibadah korban kerana tidak dilantik sebagai urusetia urusan penyembelihan
• Mangsa parah di muka, suspek melarikan diri sebelum tampil menyerah diri kepada polis
• Suspek kini disiasat atas kesalahan mencederakan mangsa dengan senjata tajam
Seorang lelaki di Palembang, Indonesia, bertindak menikam ketua jawatankuasa ibadah korban hanya kerana berasa kecil hati tidak diberi tanggungjawab dalam urusan penyembelihan. Kejadian tersebut berlaku pada pagi Sabtu, 7 Jun 2025 di perkarangan Masjid Haqqul Yakin.
Suspek yang hanya dikenali dengan nama ‘D’ melarikan diri ke daerah Ogan Ilir sejurus kejadian. Namun selepas diberi amaran oleh pihak polis, dia akhirnya tampil menyerah diri di Balai Polis Seberang Ulu I. Polis turut merampas sebilah parang yang digunakan dalam kejadian itu.
Ketua Polis Seberang Ulu I, Inspektor Heri berkata, siasatan mendapati suspek bertindak sedemikian kerana terasa hati tidak diberi peranan dalam mengurus ibadah korban.
“Suspek berasa tersinggung kerana tidak dijemput membantu dalam urusan penyembelihan. Siasatan awal menunjukkan tiada unsur lain yang mendorong serangan ini,” katanya.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan masjid menunjukkan lelaki itu menghampiri mangsa yang sedang melapah daging sebelum tiba-tiba menyerangnya dengan parang di bahagian muka.
Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kini sedang dirawat secara intensif di Hospital Umum Palembang.
Walaupun mengaku kesal atas perbuatannya, suspek tetap disiasat atas kesalahan mencederakan mangsa dengan senjata berbahaya yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun. – Agensi








