Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan tiada lagi larangan berceramah yang dikenakan ke atas pendakwah Dr Zakir Naik.
Menurutnya, berdasarkan semakan, larangan berkenaan hanya dikenakan pada tahun 2019.
“Saya semak balik sekarang, tak ada lagi larangan itu sebab waktu itu, 2019 merujuk hanya tempoh siasatan terhadap dua kenyataan dikeluarkan dalam ucapan di Kota Bharu dan Perlis,” katanya.
Saifuddin menjelaskan perkara berkenaan ketika menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai status larangan berceramah ke atas Zakir Naik.
Memetik laporan Free Malaysia Today, persoalan sama turut dibangkitkan V Ganabatirau (PH-Klang) yang meminta KDN memberi penjelasan mengenai status larangan itu susulan laporan mendakwa Zakir berceramah dalam sebuah program di Perlis bulan lalu.
Terdahulu, pada Ogos 2019, polis dilaporkan mengeluarkan arahan tidak lagi membenarkan Zakir memberikan ceramah di Malaysia atas dasar memelihara keselamatan dan keharmonian kaum.
Beliau disoal siasat bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja menghina dan menggugat ketenteraman awam susulan ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan disangkal oleh Zakir dan menyatakan tiada arahan polis disampaikan kepadanya.