Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan amalan penganugerahan kontrak secara rundingan terus tidak boleh diteruskan kerana ia hanya membuka ruang kepada ketirisan, kronisme dan salah guna kuasa. Beliau menekankan bahawa seluruh jentera kerajaan mesti tunduk pada undang-undang, bukannya bertindak sebaliknya.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 di Dewan Rakyat semalam. RUU berkenaan mengandungi 12 bahagian dan 93 fasal dengan matlamat meletakkan tanggungjawab penuh kepada pihak yang menguruskan perolehan menggunakan dana kerajaan.
Baca juga:
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
Kerangka ekonomi dan anjakan besar
Menurut Anwar, kerajaan telah menggerakkan beberapa inisiatif utama seperti Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memperkukuh ekonomi sambil memulihkan kerosakan lama.
“Usaha memecahkan hegemoni dan monopoli kartel (daripada telur, ayam, sayur-sayuran hinggalah ubat-ubatan) sedang digerak dan dilaksanakan meskipun jalannya penuh onak dan duri,” katanya.
Beliau turut mengakui sukar untuk memberhentikan budaya rundingan terus, namun menegaskan keberanian melakukan anjakan adalah satu-satunya cara menyelamatkan maruah negara serta memastikan generasi akan datang mewarisi Malaysia yang adil, bermaruah dan berdaya saing.
Integriti pentadbiran dan pengajaran skandal lalu
Anwar berkata, kejayaan membina ekonomi bernilai tinggi bergantung kepada tatakelola terbaik dalam pentadbiran, termasuk ketegasan membanteras rasuah, pembaziran dan salah laku.
“Tidak akan berjaya usaha menaikkan siling dan lantai tanpa tatakelola terbaik dalam pentadbiran yang mempertahan integriti institusi, ketegasan membanteras salah laku, pembaziran sumber serta rasuah, selain keutamaan menguruskan kewangan negara dengan telus, cekap dan berintegriti,” katanya.
Perdana Menteri turut menyentuh mengenai deretan skandal kewangan negara termasuk skandal Maminco, kerugian Forex, kejatuhan Bank Bumiputera, 1MDB, perolehan kapal tempur pesisir (LCS), sehinggalah projek Jana Wibawa. Katanya, semua itu menjadi bukti bahawa ketelusan dan pertanggungjawaban bukan lagi pilihan, sebaliknya tuntutan yang mesti dipenuhi bagi mengelakkan pengulangan pada masa depan.
Sumber: Berita Harian








