Kes HFMD meningkat di Terengganu, 533 kes direkodkan sejak Januari | The Reporter

Kes HFMD meningkat di Terengganu, 533 kes direkodkan sejak Januari

Kanak-kanak mencuci tangan untuk cegah HFMD.
Foto hiasan sahaja.

Terengganu mencatatkan 533 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sejak Januari hingga Sabtu lalu, dengan daerah Kuala Terengganu merekodkan jumlah tertinggi iaitu 198 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata daerah lain yang turut terjejas ialah Kuala Nerus (66 kes), Dungun (57), Marang (47), Hulu Terengganu (45), Kemaman (38) dan Besut (27).

Menurut laporan Harian Metro, sebanyak 10 kluster HFMD dikenal pasti setakat ini, dengan sembilan daripadanya berlaku di taska dan satu di tabika. Kluster dikira apabila terdapat sekurang-kurangnya dua kes dalam satu lokaliti yang mempunyai kaitan epidemiologi dan berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit tersebut.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya lebih berwaspada dan tidak membawa anak yang menunjukkan tanda-tanda jangkitan ke tempat awam bagi mengurangkan risiko penyebaran.

“Langkah pencegahan seperti mencuci tangan dengan sabun selepas ke tandas atau menukar lampin juga penting bagi mengekang penularan HFMD,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tular di media sosial kebimbangan ibu bapa mengenai peningkatan kes HFMD di negeri ini, yang turut mencetuskan perbincangan mengenai langkah kawalan lebih ketat di pusat penjagaan kanak-kanak.

Related Posts