INDONESIA – Datuk Bandar Makassar, Munafri Arifuddin, menegur keluarga berpendapatan rendah atau miskin yang terus menambah bilangan anak tanpa mengambil kira kemampuan kewangan. Beliau menekankan tentang kepentingan merancang keluarga menerusi program Keluarga Berencana (KB) bagi memastikan anak-anak mendapat kehidupan yang lebih terjamin.
Dalam satu majlis bersama Menteri Sosial Indonesia di Jalan Pandang Raya, Makassar, Munafri menyuarakan kebimbangan terhadap sikap sesetengah keluarga yang masih tiada pendapatan tetap, namun tetap memilih untuk membesarkan keluarga tanpa perancangan.
“Kalau ibu bapanya pun masih tidak ada kerja tetap dan belum mampu menyara keluarga, tolong jangan berterusan menambah anak. Gunakan kaedah perancangan keluarga,” katanya.
Beliau memberi contoh keluarga yang hanya berpendapatan Rp1 juta sebulan (kira-kira RM300), tetapi mempunyai lima orang anak. Keadaan ini akan menjejaskan keupayaan ibu bapa untuk menyediakan makanan, pakaian dan pendidikan secukupnya.
“Bayangkan, kalau pendapatan cuma Rp1 juta sebulan (RM300) tetapi anak sampai lima orang, bagaimana nak cukupkan makanan, pakaian dan pendidikan mereka?” katanya lagi.
Munafri menegaskan, isu ini bukan hanya tanggungjawab individu, malah melibatkan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh. Justeru, pihak berkuasa tempatan tidak akan membiarkan perkara ini terus berlaku.
“Kami tidak akan membiarkan keadaan ini berlarutan. Kerajaan akan turun padang dan bantu di setiap kawasan yang memerlukan melalui pelbagai program sokongan masyarakat,” ujarnya.
Beliau berharap teguran itu membuka mata orang ramai untuk lebih bertanggungjawab dalam membuat keputusan membina keluarga, demi masa depan anak-anak yang lebih baik.
Sumber: RCTI








