Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Memasuki sesi persekolahan baharu 2025/2026, pelbagai ragam dan gelagat murid-murid dikongsikan menerusi media sosial. Bukan sahaja telatah murid-murid, malahan ada kisah pendidik yang membuatkan ramai tersentuh hati melihat usaha dan pengorbanan yang diberikan.
Bergelar sahaja sebagai pendidik, satu amanah dan tanggungjawab besar yang harus dipikul untuk mendidik anak-anak walau berdepan dengan apa sahaja rintangan yang mendatang.
Menerusi satu perkongsian video di TikTok pula, seorang pendidik yang dikenali sebagai Ashraf Amin berkongsikan pengalamannya pada hari pertama mendapat penempatan di kawasan pedalaman.
Katanya, hanya dua kenderaan sahaja yang digunakan untuk ke sekolah berkenaan yang terletak di Bihai, Gua Musang iaitu trak pikap dan juga motosikal scrambler.
“Hari pertama penempatan. Alhamdulilah, satu pengalaman yang tak dapat dilupakan, tetap bersemangat untuk menyebarkan ilmu,” kongsinya.
Menerusi perkongsian video berkenaan, cikgu Ashraf Amin merakamkan perjalanan mereka yang perlu melalui laluan berbukit. Bukan menghirup angin segar, tetapi mereka berdepan juga debu-debu yang berterbangan sehingga mereka terpaksa memakai pelitup muka.
Kongsinya juga, peralatan-peralatan sekolah seperti buku, pakaian, komputer riba perlu dimasukkan ke dalam plastik bagi mengelakkan dari terkena lumpur.
“Tak kisah rupa beg macam mana, janji semua selamat sampai sekolah,” tulisnya.
Seperti pendidik lain juga, harapan mereka setinggi gunung untuk memastikan para pelajar dapat menimba ilmu dengan baik dan berjasa di kemudian hari.
“Semoga setiap langkah ini menjadi ladang pahala kami,” tulisnya.








