Malaysia dikenakan tarif 24% oleh AS, industri eksport bakal terjejas teruk? | The Reporter

Malaysia dikenakan tarif 24% oleh AS, industri eksport bakal terjejas teruk?

Kadar tarif Amerika Syarikat terhadap negara Asia Tenggara termasuk Malaysia
Tarif 24% dari AS ke atas Malaysia dijangka beri impak besar kepada eksport.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump telah mengumumkan senarai kadar tarif timbal balik yang bakal dikenakan terhadap lebih 60 negara, dengan Vietnam menjadi negara Asia Tenggara yang menerima kadar tarif tertinggi iaitu 46 peratus.

Sementara itu, Singapura dan Thailand masing-masing dikenakan tarif 10 dan 36 peratus, manakala Malaysia pula dikenakan tarif sebanyak 24 peratus.

Negara Asia Tenggara lain turut menerima kadar tinggi seperti Kemboja (49%), Myanmar (44%), dan Indonesia (32%). Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Singapura menerima kadar tarif paling rendah iaitu hanya 10 peratus.

Senarai ini mengecualikan hanya dua negara – Kanada dan Mexico – daripada sebarang tarif baharu sebagai sebahagian daripada strategi Trump menekan rakan dagang untuk patuh terhadap dasar migrasi dan anti-penyeludupan AS.

Eksport Malaysia terancam, sektor pembuatan paling terkesan

Kadar tarif 24 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia dijangka memberi impak langsung kepada pelbagai sektor, terutamanya industri eksport yang bergantung kepada pasaran AS seperti peralatan elektronik, sarung tangan getah dan produk kelapa sawit.

Kenaikan kos kemasukan barangan ke pasaran Amerika ini bakal menyebabkan produk Malaysia menjadi kurang kompetitif, sekali gus menjejaskan hasil jualan serta pelaburan asing.

Dalam jangka masa pendek, impak paling ketara dijangka dirasai oleh syarikat-syarikat pembuatan, pengeksport berskala sederhana dan kecil, serta pekerja dalam sektor berkaitan.

Para penganalisis turut menjangkakan bahawa pengguna turut berisiko menanggung beban harga yang lebih tinggi sekiranya syarikat memindahkan kos tambahan kepada pasaran tempatan.

Langkah agresif Trump yang disifatkan sebagai “kemerdekaan ekonomi” oleh beliau sendiri ini dilihat oleh ramai sebagai sebahagian daripada strategi pilihan raya serta usaha mengukuhkan industri domestik AS.

Namun, bagi negara-negara yang dikenakan tarif tinggi, langkah ini bakal mengundang semakan semula terhadap perjanjian perdagangan dua hala dan strategi eksport mereka pada masa hadapan.

Related Posts