'Tanah Melayu yang dirampas, itu banyak salah pemimpin sendiri' - Anwar | The Reporter

‘Tanah Melayu yang dirampas, itu banyak salah pemimpin sendiri’ – Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di pentas rasmi dengan mengenakan baju Melayu putih, songkok hitam dan selendang bermotif Palestin.
“Tanah Melayu yang dirampas, banyak salah pemimpin sendiri” – Anwar Ibrahim ketika menyentuh isu amanah pemimpin. | Kredit gambar: Pejabat Perdana Menteri / FB Anwar Ibrahim

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kehilangan tanah milik orang Melayu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyemai kebencian terhadap kaum lain. Beliau menekankan masalah itu lebih banyak berpunca daripada kelemahan sebahagian pemimpin Melayu sendiri yang gagal menjaga amanah.

“Dalam agama ini tak latih kita benci orang. Melayu yang miskin, tanah Melayu yang dirampas, kuasa Melayu yang terhakis. Peluang-peluang diambil (kerana) itu banyak salah pemimpin Melayu sendiri.

“Cari pemimpin Melayu yang amanah, yang kuat kerja. Cari pemimpin Cina yang bersih, kuat kerja,” katanya pada Acara Rapat Umum 27 Tahun Reformasi di Melaka pada 27 September lalu, seperti dilaporkan Malaysia Gazette.

Baca juga:

Politik kebencian tidak bawa manfaat

Anwar turut mengingatkan bahawa politik kebencian hanya akan menghancurkan negara dan merugikan rakyat. Beliau memberi peringatan, sekiranya pergaduhan antara kaum dibiarkan berlarutan, ia bukan sahaja menjejaskan keharmonian sosial, malah turut meruntuhkan keyakinan pelabur.

“Apa guna bergaduh? Negara mana yang aman kalau rakyatnya bergaduh sesama sendiri? Kalau berlaku pergaduhan kaum, ekonominya hancur,” katanya.

DAP dijadikan kambing hitam pelbagai isu

Dalam nada berseloroh, Anwar menyindir sikap segelintir pihak yang sering meletakkan kesalahan kepada parti tertentu tanpa asas kukuh.

“Ekonomi rosak, (salah) DAP. Kemalangan motor pun DAP. Terlambat datang program, DAP. Itu semua alasan. Dalam agama pun tak disuruh kita benci orang,” katanya.

Menurut beliau, hanya dengan kepimpinan yang bersih dan amanah, serta semangat kebersamaan rakyat, Malaysia mampu mengekalkan kestabilan politik dan melonjakkan ekonomi di peringkat serantau dan global.

Related Posts