Tak wajar KK Mart diboikot, tuduhan hina Islam tidak terbukti - Mufti Perak | The Reporter

Tak wajar KK Mart diboikot, tuduhan hina Islam tidak terbukti – Mufti Perak

KK Mart | Foto : The Star

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh, telah memberikan penjelasan bahawa tuduhan menghina agama Islam yang ditujukan kepada pengurusan rangkaian kedai serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) berkenaan isu stoking dengan kalimah ‘ALLAH’ tidak dapat dibuktikan. Oleh itu, beliau menegaskan tiada alasan untuk memboikot premis perniagaan syarikat tersebut.

Wan Zahidi menjelaskan, dalam konteks hukum Islam, elemen penting dalam perlakuan jenayah adalah niat dan keinginan untuk melakukannya atau “alqasdul jinaei” (criminal intent). Elemen ini tidak dapat dibuktikan melalui “syahadah” atau “direct evidence,” tetapi hanya dapat dibuktikan melalui pengakuan atau melalui kaedah pembuktian “garainul ahwal” (circumstantial evidence).

Beliau juga menambahkan, tindakan memboikot terhadap sesuatu kaum adalah bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW. Dalam sejarah awal Islam, hanya orang kafir Quraisy sahaja yang memboikot umat Islam, namun Rasulullah SAW tidak pernah memboikot walaupun terhadap musuh.

Tuduhan KK Mart hina Islam tak dapat dibuktikan

Wan Zahidi merujuk kepada peristiwa sirah yang tercatat mengenai sahabat Rasulullah SAW, Thumamah bin Uthal, yang pernah ditegur oleh Rasulullah SAW ketika beliau mengisytiharkan sekatan bahan-bahan makanan kepada kaum kafir Quraisy di Makkah.

Berdasarkan penjelasan yang dibuat oleh pengurusan KK Mart dan permohonan maaf secara terbuka terhadap insiden yang berlaku serta penjelasan yang dibuat kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Wan Zahidi menegaskan bahawa kewujudan rukun alqasdul jinaei ini tidak dapat dibuktikan.

Oleh itu, berdasarkan kaedah kehakiman Islam, tuduhan menghina agama Islam terhadap pengurusan KK Mart tidak dapat dibuktikan. Selain itu, tindakan memboikot terhadap sesuatu kaum juga tidak selari dengan sunnah Rasulullah SAW.

Isu disensasikan hingga semarak kebencian

Beliau juga menegaskan, isu KK Mart telah disensasikan dengan menyemarakkan sentimen kebencian dan kemarahan, yang penangannya sudah tersasar jauh daripada landasan keadilan Islam sejagat. Ini bertentangan dengan tindakan Rasulullah SAW membentuk Piagam Madinah bagi mengatur hubungan antara pelbagai etnik dalam negara Islam pertama iaitu Madinah.

Piagam Madinah menyamaratakan hak dan tanggungjawab antara warga muslim dan bukan muslim, dengan menyatakan bahawa warga bukan muslim membentuk satu ‘ummah’ bersama umat Islam yang sekali gus menetapkan diri dan harta benda mereka dilindungi sama seperti harta benda warga muslim.

Al-Quran tekankan keadilan wajib ditegakkan

Wan Zahidi mengakui beliau mengambil masa agak lama untuk mendalami dan mengkaji sebelum menyentuh isu boikot terhadap rangkaian kedai serbaneka KK Mart yang dianggapnya sebagai bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW.

Menyedari kenyataannya juga boleh menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat, Wan Zahidi menegaskan, adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawabnya menyampaikan ilmu berkaitan dengannya, sebagaimana Rasulullah SAW mengutarakan apa sahaja yang diperintahkan Allah SWT, tanpa mempedulikan polemik yang akan tercetus.

Beliau juga menegaskan, Al-Quran menekankan keadilan wajib ditegakkan terhadap semua kaum, sama ada yang kita sukai mahupun tidak, selain keadilan yang adalah amanah yang wajib disampaikan kepada sesiapa sahaja yang berhak tanpa mengira kaum.

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis pernah menyatakan bahawa sebarang penganiayaan terhadap warga bukan Muslim akan membuatkan pelakunya berdepan pendakwaan Baginda sendiri di akhirat kelak.

Pada masa sama, Wan Zahidi menegaskan bahawa beliau hanya bercakap dalam aspek prinsip kehakiman mengikut Islam tanpa mencampuri urusan mahkamah yang sedang dihadapi pengurusan tertinggi KK Mart.

Sumber: Berita Harian

Related Posts