Seorang murid Tahun 5 di sebuah sekolah rendah di Daerah Segamat mengalami kecederaan di badan dan beberapa bahagian muka disyaki akibat dirotan oleh gurunya.
Mangsa telah dirotan oleh guru berkenaan kerana dikatakan gagal menyiapkan kerja sekolah dan bersikap sambil lewa semasa sesi pembelajaran.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian tersebut terbongkar apabila pihak polis telah mengesan satu komen yang dimuat naik oleh seorang individu di laman Facebook Polis Daerah Segamat.
“Komen tersebut menyebut seorang pelajar sebuah sekolah tamil di kawasan Jementah, Segamat mengalami kecederaan akibat dipukul oleh seorang guru di sekolah tersebut.
“Respon kepada komen tersebut, pihak polis Segamat telah meminta mangsa hadir ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan berkenaan kejadian. Ekoran daripada itu, pada 19 Julai lebih kurang pukul 12.10 tengah malam hari ini, satu laporan polis telah dibuat oleh ibu mangsa.
“Di dalam laporan tersebut menyatakan, anaknya murid lelaki Tahun 5 mengalami kecederaan luka di bahagian leher kiri, bahu kiri dan calar di pipi muka akibat dirotan oleh guru besar,” katanya.
Susulan itu, guru perempuan terbabit berumur lingkungan 50-an telah diambil keterangan oleh pihak polis dan siasatan masih dijalankan.
Tambah Ahmad Zamry, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sumber: Kosmo! Online