Tak sanggup melihat anak diragut leukemia, ibu bangkit tubuhkan persatuan bantu keluarga senasib | The Reporter

Tak sanggup melihat anak diragut leukemia, ibu bangkit tubuhkan persatuan bantu keluarga senasib

Sumber foto: Weird Kaya

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Lavaniyah Ganapathy berdepan dengan satu berita yang paling sukar diterima oleh mana-mana ibu apabila anak perempuannya disahkan menghidap leukemia ketika berusia enam tahun.

Ketika itu, dunia sedang melalui pandemik COVID-19, dan Malaysia berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun bagi Lavaniyah, ujian terbesar datang dalam bentuk perjuangan untuk menyelamatkan nyawa anaknya.

Terkedu bila disahkan leukemia

Pada awalnya, Lavaniyah menyangka simptom keletihan dan demam yang dialami anaknya adalah akibat tekanan pembelajaran dalam talian atau COVID-19. Namun, selepas beberapa siri ujian darah, keputusan yang keluar jauh lebih berat iaitu, leukemia.

“Saya tak akan lupa saat doktor mengesahkannya. Saya menghubungi dan memaklumkan kepada suami, keadaan menjadi senyap seketika. Kami terkedu dan menangis, terlalu berat untuk menerima berita ini,” kata Lavaniyah dengan nada sebak.

Berita tersebut menghancurkan jiwa mereka sekeluarga, tetapi dia tahu tiada masa untuk meratapi. Dengan kos rawatan yang dianggarkan sekitar RM750,000 di Singapura, Lavaniyah dan keluarganya berusaha mencari dana untuk memastikan anaknya mendapat rawatan yang diperlukan.

“Saya rasa seperti lemas. Bagaimana nak cari duit sebanyak itu? Tapi tiada pilihan lain. Kami terpaksa cari jalan. Syukurlah, kami ada insurans tanpa had, yang kami ambil untuk semua anak-anak semasa saya mengandung,” katanya.

Tubuhkan persatuan, bantu keluarga senasib

Dengan ketabahan yang luar biasa, Lavaniyah bukan sahaja berjaya mengumpul dana bagi rawatan anaknya tetapi juga mendirikan Children Cancer Association Malaysia (CCAM), sebuah persatuan yang ditubuhkan untuk membantu kanak-kanak lain yang menghadapi situasi serupa.

Melalui CCAM, Lavaniyah memberi sokongan kewangan dan moral kepada keluarga yang berhadapan dengan kesukaran membiayai rawatan kanser anak-anak mereka. Baginya, tiada kanak-kanak yang patut kehilangan nyawa hanya kerana keluarganya tidak mampu membiayai rawatan. Lavaniyah kini berdedikasi untuk memberi harapan kepada keluarga yang memerlukan.

“Jangan pergi jumpa bomoh, jangan bergantung pada kaedah yang tidak terbukti rawatannya. Lebih awal kita mulakan rawatan yang betul, lebih tinggi peluang untuk anak kita sembuh. Jangan buang masa.

“Jangan tunda rawatan, percayalah kepada doktor dan cari jalan untuk memberikan anak-anak peluang terbaik untuk sembuh,” ujarnya.

Jika anda atau sesiapa yang anda kenali memerlukan bantuan dalam waktu sukar seperti ini, CCAM sedia untuk membantu. Mereka boleh dihubungi di talian 016-3312427 atau emel ke info@ccaminternational.com untuk maklumat lanjut. Bagi yang membantu boleh menghulurkan sumbangan untuk menyokong misi CCAM di SINI. Setiap sumbangan adalah amat bermakna untuk membantu mereka yang memerlukan.

Sumber: Weird Kaya

Related Posts