‘Tak pernah dengar bunyi letupan sekuat itu’ – Nahas helikopter Tan Sri Yahaya, hilangnya permata negara


Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan
nama. Walaupun Allahyarham sudah 24 tahun meninggalkan dunia, namanya tetap
menjadi sebutan rakyat Malaysia. Jasa dan sumbangan yang telah diberikan
menjadikan beliau disanjung sehingga kini.

Tan Sri Yahaya Ahmad satu nama yang cukup terkenal pada era 90-an.
Kredibilitinya sentiasa menarik perhatian sesiapa sahaja. Kematiannya pada tahun
1996, mengejutkan semua pihak.

Bagi memperingati jasa beliau, pusat Latihan kemahiran Institut
Kemahiran Mara Pekan dinamakan semula sebagai sebagai Institut Kemahiran Mara
Tan Sri Yahaya Ahmad dan terdapat sebuah jalan yang diberi nama Jalan Yahaya Ahmad
yang terletak di Dungun, Terengganu.

KISAH kematian jutawan
Melayu, Tan Sri Yahaya Ahmad yang pernah beli Syarikat LOTUS secara tunai.

Tan Sri Yahaya Ahmad satu nama yang cukup popular di tahun
90-an. Beliau adalah salah seorang usahawan atau tokoh koporat bumiputra yang
berjaya dihasilkan di zaman Tun Dr Mahathir menjadi PM.

Beliau pernah menggegarkan dunia apabila membeli Lotus
secara tunai. Pembelian tunai itu dilakukan setelah orang putih di Lotus tidak
percaya kemampuan beliau untuk membelinya. Tanpa bercakap banyak beliau bawa
wang tunai untuk membelinya.

Tan Sri Yahaya Ahmad semasa hidupnya mengetuai DRB Hicom. Banyak
perniagaan yang dijalankan di bawah rangkaian DRB Hicom pada masa itu termasuklah
Proton, Alam Flora, Intrakota dan banyak lagi.

Kejayaan Tan Sri Yahaya Ahmad banyak didokong oleh Tun Dr
Mahathir. Boleh dikatakan beliau adalah anak emas Tun. Sewaktu melawat
jenazahnya Tun menangis teresak-esak. Tun banyak memberi serta meluluskan
projek-projek perniagaan kepada DRB Hicom kerana sikap Allahyarham yang baik.

Beliau tidak sombong, merendah diri serta menolong orang
ramai. Satu projek yang kerajaan berikan kepadanya, seribu projek dia turunkan
kepada usahawan-usahawan bumiputra yang lain. Tun memang banyak bergantung
kepadanya pada masa itu untuk menolong usahawan-usahawan bumiputra.

Beliau tidak menipu Tun dan beliau boleh buat apa yang Tun
arahkan dalam usaha menolong kaum bumiputra. Beliau lakukan dengan
sejujur-jujurnya dan seikhlas-ikhlasnya.

Hubungan rapat antara Allahyarham dan Tun pada ketika itu
menimbulkan ketidaksenangan ahli-ahli korporat lain yang berperangai lintah
darat. Mereka dengki kerana semua projek-projek besar pada masa itu pergi
kepada DRB Hicom.

Allahyarham pernah belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar
bersama-sama dengan Anwar Ibrahim. Selain itu menurut sumber, Anwar Ibrahim
pernah berkrisis dengan Allahyarham semasa di UM.

Berita pilu yang diterima di awal pagi bulan Mac 1997 oleh
rakyat Malaysia disambut dengan rasa tidak percaya. Cerita bagaimana seorang
usahawan yang terkenal dengan kegigihannya disingkatkan kecemerlangan
kerjayanya masih dirasai terutama oleh syarikat-syarikat Kumpulan DRB-Hicom dan
kakitangannya.

Ketangkasan dan wawasan beliau lebih-lebih lagi dirindukan
di dalam suasana kumpulan yang diasas beliau lemas tersempit oleh kegawatan
ekonomi. Ramai yang masih ingat akan kesungguhan beliau untuk menyelesaikan
rungutan penumpang bas Intrakota terhadap tahap perkhidmatannya.

Dengan menunggang sendiri motosikal “Cub” beliau
meredah di celah-celah kesibukan kenderaan KL tanpa mengira di awal pagi
sebelum matahari terbit ataupun sewaktu panas yang terik. Tiada protokol yang
dipentingkan beliau.

Yang lebih menyayatkan hati orang ramai ialah kerana beliau
terbunuh ketika dalam menziarahi ibunya yang sedang sakit tenat (dan meninggal
beberapa ketika selepas itu).

Betapa di dalam kesibukan beliau mengejarkan jadual yang
ketat dengan pelbagai perkara yang riuh bermain di dalam kepala, beliau masih
sanggup terbang pada waktu larut malam demi menunaikan kesetiaan sebagai anak
yang ingin membalas jasa ibu.

Siasatan tragedi memakan masa lebih setahun untuk siap.
Selepas siap, laporan tersebut mengambil masa yang lama pula untuk diumumkan.


Pesawat Agusta-109P yang mempunyai 6-tempat duduk itu
menjunam 2,900 meter ke celah-celah pokok getah berdekatan dengan sebuah
kampung dekat Kuala Lipis.

Pesawat yang dengan rasminya dimiliki oleh syarikat TSYA,
Gadek Aviation Helicopter Sdn Bhd, adalah sebuah pesawat yang baru dibeli dan
adalah model tercanggih yang dikeluarkan oleh pembuat pesawat Agusta dari
Itali.

Syarikat pembuat telah menghantar jurutera mereka untuk
menyiasat punca kemalangan tersebut. 

KRONOLOGI KEJADIAN:

10.45 malam – Helikopter Agusta A 109E milik Gadek Aviation
Helicopter Sdn Bhd berlepas dari pangkalan helikopter di Segambut, Kuala
Lumpur. Pesawat itu dijadualkan tiba di Kuala Terengganu jam 11.52 malam.

11.07 malam – Pada kedudukan 49 batu nautika ke arah 039
darjah magnetik, helikopter itu kelihatan berpusing sedikit ke kanan.

11.11
malam – Helikopter itu kelihatan mengarah 090 darjah dari kedudukannya yang
lalu.

11.15 malam – Pesawat itu terputus hubungan dengan menara
kawalan Subang dan hilang dari skrin radar. Pusat Kawalan Udara dimaklumkan
mengenai keadaan itu.

11.25 malam – Polis Pahang menerima laporan mengenai kemalangan
pesawat Agusta-109 itu yang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Atong
di Jerangsang, Benta, 41 kilometer dari Kuala Lipis.

12.05 tengah malam – Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala
Lipis dimaklumkan polis mengenai nahas itu dan bergegas ke tempat kejadian.

1.00 pagi – Mayat mangsa dan bangkai pesawat ditemui. Semua mayat dihantar ke
Hospital Kuala Lipis.

9.52 pagi – Semua mayat diterbangkan dengan pesawat Nuri
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Hospital Kuala Terengganu untuk
pemeriksaan forensik. 

10.50 pagi – Semua jenazah tiba di Hospital Kuala
Terengganu.

2.05 petang – Jenazah Mejar (B) Azlizan dibawa ke padang
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu untuk diterbangkan dengan helikopter
Nuri ke kampungnya di Batu Pahat untuk pengebumian.

2.30 petang – Jenazah Tan Sri Yahaya Ahmad dan isteri dihantar ke
rumahnya di Marang dengan kenderaan jenazah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu
untuk pengebumian.

Selain Yahaya, dua lagi mangsa ialah isterinya, Puan Sri Rohana
Othman, 49, dan juruterbang, Mejar (B) Azlizan Abdul Manas, 32. Helikopter
Agusta A109E Power milik Gadek Aviation Services Sdn Bhd, anak syarikat
DRB-Hicom, dilaporkan hilang pada skrin radar dan terputus hubungan pada jam
11.15 malam ketika dalam penerbangan dari ibu negara ke Kuala Terengganu,
Terengganu. Helikopter yang mempunyai 6-tempat duduk itu menjunam 2,900 meter
ke celah-celah pokok getah.

Ia baru dibeli ketika itu dan adalah model tercanggih yang
dikeluarkan oleh pembuat pesawat Agusta dari Itali.

Tan Sri Yahaya Ahmad dan isteri, Puan Sri Rohana Othman, dikatakan ingin pulang ke kampung halaman
untuk menziarahi ibunya yang sakit, tetapi malang umurnya tidak panjang kerana
dijemput Ilahi ketika dalam perjalanan pulang.

Beliau yang juga Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu
Malaysia, kali terakhir dilihat menghadiri majlis makan malam anjuran Persatuan
Bekas Pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada malam sebelum nahas.

Ketika dalam penerbangan, enjin pesawat malang itu
dikatakan tidak berfungsi secara normal mengakibatkan kipas utama kehilangan
kuasa dan berputar secara tidak seimbang lalu mengakibatkan tekanan terhadap
struktur kipas.

Ketidakseimbangan ini menyebabkan kipas itu patah dan
siasatan mendapati kipas utama helikopter patah sebelum pesawat terhempas. Tiga
daripada kipas ditemui di tiga tempat berasingan, manakala satu bahagian lagi
ditemui penduduk kampung beberapa hari kemudian.


Berdasarkan keadaan di tempat kejadian, helikopter itu
dipercayai jatuh terhempas tanpa kipas utama kerana tidak ada kesan libasan
kipas pada pokok sekitar kawasan kemalangan.

Sebaik saja helikopter itu terputus hubungan dengan menara
kawalan, gerakan mencari dan menyelamat dijalankan. Berdasarkan maklumat
beberapa penduduk kampung berhampiran dikatakan mendengar dua letupan, iaitu
sekali di udara dan sekali lagi di tempat pesawat itu menjunam.

Ketika anggota polis tiba di tempat kejadian, bangkai
helikopter itu masih terbakar dan ada serpihan ekor yang tertulis perkataan
DRB.

Kira-kira 20 anggota polis, lima pegawai, diketuai Ketua
Polis Daerah Lipis, Superintendan Mahmud Embi, menjalankan gerakan mencari
mangsa di kawasan lingkungan 50 meter dari tempat kejadian, tetapi gagal
menemui mayat berkenaan.

Gerakan yang turut dibantu kira-kira 10 anggota bomba dan
penduduk kampung diteruskan hingga mayat ketiga-tiga mangsa ditemui pada jam 1
pagi di bawah serpihan helikopter itu.

Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui di bawah cebisan bangkai
helikopter itu, kira-kira dua jam selepas pesawat terhempas dengan jarak yang
tidak berjauhan antara satu sama lain. Pasukan mencari dan menyelamat juga
menemui sebelah kasut wanita dan sebuah beg tangan.

Semua mangsa yang rentung dibawa ke Hospital Kuala Lipis,
kira-kira jam 5.20 pagi untuk dibedah siasat sebelum dibawa ke Marang,
Terengganu.

Jenazah kemudian diterbangkan dengan pesawat Nuri Tentera
Udara Diraja Malaysia pada jam 9.45 pagi ke Hospital Kuala Terengganu dan
dikebumikan. Di tempat kejadian, pasukan pencari serpihan dan barangan nahas
menjumpai dua beg dipercayai milik tokoh korporat itu dan isterinya.

Kedua-dua beg dijumpai di kawasan bukit kira-kira 300 meter
dari tempat tragedi pada jam 1.30 tengah hari pada hari keempat nahas.

Pada hari ke-12 selepas nahas, Jabatan Penerbangan Awam
(DCA) menemui bilah rotor terakhir helikopter. Sebelum itu, satu daripada kipas
helikopter dijumpai kira-kira satu kilometer dari bangkai pesawat, manakala
tiga lagi dijumpai antara 200 hingga 300 meter dari situ.

Sumber: Mat Hades

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!