Tak adil salahkan Menteri Pendidikan atas tragedi di sekolah - Timb. Ketua wanita Keadilan | The Reporter

Tak adil salahkan Menteri Pendidikan atas tragedi di sekolah – Timb. Ketua wanita Keadilan

Fadhlina Sidek bersama Juwairiya Zulkifli duduk bersebelahan sambil tersenyum, menggambarkan kesepakatan dalam isu tanggungjawab dan keselamatan pelajar di sekolah.
Fadhlina Sidek dan Juwairiya Zulkifli sependapat bahawa tragedi di sekolah tidak wajar diletakkan sepenuhnya di bahu Menteri Pendidikan.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Setiap kali tragedi berlaku di sekolah, jari cepat menuding ke arah Kementerian Pendidikan. Tapi wajarkah semua beban salah itu diletakkan di bahu seorang menteri?

Timbalan Ketua Wanita Keadilan, Juwairiya Zulkifli mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu mudah mencari “kambing hitam” setiap kali berlaku kejadian malang di premis pendidikan. Menurutnya, peranan membentuk akhlak dan kesejahteraan pelajar tidak pernah terhenti di pagar sekolah. Ia bermula di rumah, dalam telefon pintar, dan di ruang maya yang sentiasa aktif.

Bila gajet jadi pengasuh baharu

Katanya, zaman kini memaksa ibu bapa memberikan anak gajet atas alasan keselamatan dan komunikasi, tetapi sejauh mana mereka benar-benar memantau penggunaannya?

“Anak-anak bukan sekadar guna telefon untuk berhubung. Mereka bermain game, aktif di media sosial dan terdedah kepada dunia tanpa sempadan,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Juwairiya mencadangkan agar Akta Komunikasi dan Multimedia diperketatkan, sambil menegaskan tanggungjawab ibu bapa untuk memantau kandungan dan aplikasi yang digunakan anak-anak.

Baca juga:

Tekanan remaja yang tak nampak di mata

Beliau turut menyorot aspek kesihatan mental dan tekanan psikososial yang kerap terlepas pandang. Menurutnya, pelajar bukan sekadar berdepan peperiksaan, tapi juga tekanan mencari identiti, penerimaan rakan sebaya, dan beban harapan keluarga.

“Ramai tak sedar, sebahagian remaja ini hidup dalam diam. Mereka menanggung tekanan yang tak sempat difahami sesiapa,” katanya.

Juwairiya menegaskan, siasatan perlu meneliti latar belakang suspek dari sudut emosi dan keluarga, bukan sekadar kesalahan jenayah semata-mata. Tiada ibu bapa yang mahu melahirkan penjenayah; ada sesuatu yang lebih dalam sedang berlaku di sebalik tindakan itu.

Tanggungjawab bersama, bukan menteri semata

Juwairiya turut mengingatkan agar masyarakat tidak cepat menghukum mana-mana pihak sebelum siasatan selesai.

Sebaliknya, beliau menyeru agar dasar keselamatan pelajar di sekolah serta peraturan digital disemak semula supaya setiap anak, sama ada di rumah mahupun di sekolah, dapat membesar dalam persekitaran yang selamat, positif dan beradab.

Sumber: Malaysia Gazette

Related Posts