Tabung Harapan Malaysia terima lebih RM7 juta sumbangan dari rakyat prihatin - The Reporter

Tabung Harapan Malaysia terima lebih RM7 juta sumbangan dari rakyat prihatin

Sehingga jam 3 petang 31 Mei ini, Tabung Harapan Malaysia telah mengumpul lebih RM7 juta dari rakyat Malaysia yang mahu membantu kerajaan membayar hutang negara. 
Jumlah sumbangan terkumpul itu kurang dari 24 jam selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan tabung berkenaan semalam. 
Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam sidang media berkata, rakyat Malaysia telah menunjukkan semangat patriotisme yang tinggi dan sanggup menghulurkan sumbangan kepada kerajaan untuk membina semula negara tercinta. 
Dalam pada itu, Guan Eng juga memuji aktivis Shazarina, yang mengambil inisiatif mengumpul dana dari rakyat Malaysia seminggu sebelum Tabung Harapan dilancar semalam.
Usaha anak muda itu setakat ini telah mengumpul sebanyak RM13,476.57 dan tindakannya itu juga menimbulkan reaksi positif di kalangan rakyat yang kini tidak putus-putus terus memberikan sumbangan. 
Justeru, Guan Eng memberi jaminan bahawa pihaknya akan menguruskan sumbangan itu sebaik mungkin dan jumlah sumbangan yang terkumpul juga akan dimaklumkan dalam laman sesawang Kementerian Kewangan termasuk laman sosial rasminya. 
Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyimpan resit sumbangan berkenaan.
Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!