Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Gambar tiga keping duit syiling Malaysia dengan simbol pelik di tapak patung perisik terkenal Amerika Syarikat menjadi bualan hangat selepas ia dimuat naik oleh akaun rasmi CIA di platform X semalam.
“Artifact of the Week: Coins Left at the Statue of Nathan Hale,” tulis CIA bersama pautan ke laman rasmi mereka. Dalam hantaran tersebut, kelihatan tiga keping syiling Malaysia, 20 sen, 10 sen dan 5 sen, bertarikh sekitar 2017 hingga 2018, lengkap dengan tanda yang menyerupai orang lidi, tapak kaki haiwan dan satu lagi simbol yang tidak diketahui maksudnya.
Pendedahan itu segera menarik perhatian ramai, khususnya warga maya dari Malaysia yang tertanya-tanya kenapa syiling kita ada di sana.
Artifact of the Week: Coins Left at the Statue of Nathan Hale
— CIA (@CIA) July 15, 2025
Learn more: https://t.co/bhyUFYvkDC pic.twitter.com/koqZCPQZtS
Apa kaitan CIA dengan syiling Malaysia?
Menurut CIA, syiling tersebut merupakan sebahagian daripada tradisi unik yang berlaku di ibu pejabat asal mereka di Langley, Virginia. Di hadapan bangunan itu terdapat patung Nathan Hale yang dianggap sebagai perisik pertama Amerika.
Dalam budaya CIA, pegawai yang akan ditugaskan ke luar negara akan meninggalkan sekeping syiling di kaki patung itu sebagai simbol harapan agar semangat Nathan Hale melindungi mereka sepanjang misi. Biasanya mereka tinggalkan syiling bagi memperingati tahun Hale dihukum gantung, iaitu 1776. Kadangkala, pegawai juga meninggalkan wang asing dengan tanda peribadi.
CIA menjelaskan semua wang yang dikutip dari patung tersebut akan disumbangkan kepada dua pertubuhan kebajikan untuk membantu keluarga pegawai CIA yang cedera atau terkorban semasa bertugas.
Baca juga:
- Pegawai kerajaan dipecat gara-gara ceraikan isteri dua hari sebelum dilantik
- Polis gesa batal himpunan bantah kedatangan Trump demi jaga imej negara
- ‘Desakan letak jawatan bukan tanda gagal, tapi panggilan untuk buat lebih baik’ – Fadhlina
Tapi… kenapa syiling Malaysia?
Setakat ini tiada penjelasan rasmi diberikan oleh CIA, namun beberapa kemungkinan boleh dipertimbangkan. Mungkin syiling itu ditinggalkan oleh pegawai CIA yang pernah bertugas di Malaysia sebagai simbolik kenangan atau lokasi misi mereka.
Tidak mustahil juga ia ditinggalkan oleh tetamu luar atau rakan kerjasama antarabangsa dari Malaysia yang melawat CIA secara rasmi dan mahu menzahirkan penghormatan terhadap nilai keberanian yang dilambangkan oleh patung Hale.
Kemungkinan lain, ada pihak yang menggunakan syiling Malaysia sebagai simbol nilai sejagat bahawa keberanian dan pengorbanan tidak terhad pada sempadan negara, sebaliknya sesuatu yang dikongsi oleh semua bangsa. Malah, tidak mustahil juga ia ditinggalkan oleh pelawat luar dalam acara tertentu sebagai kenang-kenangan simbolik.
Siapa Nathan Hale?
Nathan Hale ialah seorang pemuda berusia 21 tahun yang berkhidmat sebagai perisik semasa Perang Revolusi Amerika. Nathan ditangkap dan dihukum gantung oleh tentera British kerana menyamar sebagai guru untuk mendapatkan maklumat sulit. Sebelum dijatuhi hukuman mati, beliau mengucapkan kata-kata yang kini diabadikan dalam sejarah, “Aku hanya kesal kerana aku cuma ada satu nyawa untuk dikorbankan demi negaraku.”
Patung Nathan kini berdiri di ibu pejabat CIA sebagai simbol semangat, keberanian dan pengorbanan dalam dunia perisikan.
CIA pantau Malaysia?
Hantaran CIA itu mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk spekulasi dan gurauan dalam kalangan netizen Malaysia. Salah seorang pengguna X menulis:
“Apa sebenarnya yang korang cuba sampaikan ni? Hmm… Adakah ini cara CIA nak cakap, ‘Kami sedang perhatikan Malaysia… jadi jangan buat hal’? Hmmm. JPM patut suruh Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) pantau CIA ni sebab susah nak dipercayai,” katanya.
Walaupun motif sebenar di sebalik kehadiran syiling Malaysia itu kekal misteri, ramai melihatnya sebagai satu bentuk simbolik yang dalam. Ia mungkin kecil dan tidak ketara, namun cukup untuk menarik perhatian ramai di seluruh dunia dan mungkin juga satu mesej yang hanya difahami oleh orang dalam.