Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis mengesahkan bahawa kes kehilangan seorang remaja perempuan, Yap Xin Yuan, 15 tahun, kini disiasat sebagai kes bunuh. Dalam laporan terkini, mayat reput yang ditemui pada 28 Disember lalu di Sungai Changgang, Banting, disahkan sebagai mayat Yap.
Tiga suspek, iaitu teman lelakinya yang berusia 16 tahun, abangnya berusia 20 tahun, dan bapanya berusia 51 tahun, telah ditahan pada 29 Disember dan direman sehingga 5 Januari 2025 untuk membantu siasatan.
Kronologi kejadian
Yap dilaporkan hilang pada 19 Disember 2024 selepas memberitahu keluarganya bahawa dia pergi ke latihan tarian singa. Yap dihantar ke lokasi latihan tersebut oleh bapanya, tetapi Yap tidak pulang ke rumah.
Keluarganya mula berasa bimbang apabila Yap tidak dapati dihubungi kerana telefon bimbitnya dimatikan selepas tengah malam.
Tempat latihan ditutup
Keluarga Yap kemudian pergi ke lokasi latihan, tetapi mendapati tempat itu ditutup kerana pengurusnya berada di luar negara. Mereka cuba mendapatkan maklumat daripada teman lelaki Yap melalui Instagram, namun tidak menerima sebarang jawapan.
Selepas laporan polis dibuat, teman lelaki Yap memberitahu polis bahawa dia tiada kaitan dengan kehilangannya. Namun, keterangan dia mencetuskan keraguan.
Dia mendakwa Yap ada datang ke rumahnya menggunakan kenderaan sewa pada hari kejadian. Mereka sempat makan bersama sebelum berlaku pertengkaran, dan Yap dikatakan meninggalkan rumah itu dengan kenderaan sama.
Bagaimanapun, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan rekod perjalanan kenderaan sewa menunjukkan masa ketibaan Yap tidak sama seperti yang diceritakan oleh teman lelakinya. Walaupun begitu, polis pada ketika itu belum menemui bukti kukuh untuk menahannya.
Mayat ditemui di Sungai Banting
Pada 28 Disember 2024, polis menemui mayat seorang wanita di Sungai Banting selepas mendapat maklumat daripada orang awam. Mayat itu mempunyai ciri-ciri fizikal seperti ketinggian dan pendakap gigi yang menyerupai Yap. Namun, identiti sebenar hanya boleh disahkan melalui ujian DNA kerana keadaan mayat sudah reput.
Pada 29 Disember, teman lelaki Yap bersama abangnya yang berusia 20 tahun dan bapanya yang berusia 51 tahun telah ditahan oleh pihak polis. Kes ini disiasat sebagai kes pembunuhan.
Teman lelakinya mengaku membuang mayat Yap ke sungai selepas mendakwa mangsa meninggal dunia akibat minuman yang dicampur dengan bahan terlarang. Dia juga mengaku panik dan meminta bantuan keluarganya untuk membuang mayat itu ke dalam sungai.
Sumber: Mothership








