Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Penjara disifatkan sebagai ‘neraka dunia’ oleh sesetengah pihak namun tidak bagi warga emas di Jepun.
Kesepian dan kemiskinan yang menjadi masalah utama mereka memaksa sesetengah wanita warga emas di sana untuk memilih penjara sebagai tempat perlindungan.
Penjara Wanita Tochigi yang merupakan penjara wanita terbesar di Jepun kini dipenuhi dengan banduan warga emas. Melalui jaminan makanan, penjagaan kesihatan percuma dan rakan-rakan sebaya, sesetengah daripada wanita warga emas di Jepun sanggup melakukan jenayah kecil seperti mencuri untuk kembali ke sana.
Memetik laporan dari CNN, pegawai penjara berkata, ada juga yang sanggup membayar 20,000 atau 30,000 yen (kira-kira RM610-920) sebulan jika mereka boleh tinggal di penjara selama-lamanya untuk menghilangkan rasa kesunyian.
Statistik menunjukkan lebih 80% banduan wanita warga emas di Jepun dipenjara kerana kecurian, kebanyakannya disebabkan kemiskinan. Di luar penjara, 20% warga emas Jepun hidup dalam kemiskinan, dan tanpa sokongan keluarga atau masyarakat, penjara menjadi satu-satunya pilihan bagi mereka yang terdesak.
Kerajaan Jepun telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk membantu warga emas, termasuk sokongan selepas pembebasan dan program komuniti. Namun, persoalannya tetap sama: adakah usaha ini mencukupi untuk menangani masalah kesepian dan ketidakstabilan hidup yang dialami oleh warga emas Jepun?
Penjara, yang dahulunya tempat hukuman, kini menjadi “rumah perlindungan” bagi ramai warga emas yang terasing dan bergelut untuk meneruskan hidup. Situasi ini menggariskan keperluan mendesak untuk menyokong populasi warga emas yang semakin meningkat di Jepun.