Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan pasukan debat yang digelar Sumandak Sabah selepas dinobatkan sebagai juara Debat Piala Menteri Pendidikan 2025.
Pasukan tersebut bukan sahaja muncul sebagai juara, malah turut menyapu bersih anugerah Orator Terbaik serta Pendebat Terbaik Generasi MADANI.
Menurut Fadhlina, sejak pasukan itu memulakan hujah mereka di pentas, keyakinan, artikulasi serta penguasaan tajuk yang jelas telah memberi gambaran awal bahawa kemenangan berpihak kepada mereka.
“Petah berhujah, artikulasi yang jelas, keyakinan yang tinggi serta menguasai keseluruhan tajuk perbahasan adalah ciri-ciri orator yang bagus. Sebaik mereka membuka gelanggang perdebatan, kami yang berada di bawah pentas sudah merasakan pasukan ini akan menang,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Cabaran terbesar
Dalam temubual bersama media, salah seorang ahli pasukan Sumandak Sabah mendedahkan cabaran terbesar mereka adalah ketika negeri itu dilanda bencana banjir.
Mereka berdepan kesukaran untuk menjalani latihan kerana terputus hubungan berikutan ketiadaan elektrik dan internet. Namun, semangat juang tinggi dan kekentalan jiwa anak Sabah menjadi kekuatan utama mereka untuk terus bersaing sehingga ke pentas akhir.
Baca juga:
- Ammar Ahyan wakili ibu bapa serah zakat RM900,000 kepada Lembaga Zakat Selangor
- Bapa pelajar IKBN Miri tolak tindakan undang-undang – Polis
- Sumandak Sabah dinobat juara Debat Piala Menteri Pendidikan
Istilah sumandak dalam dialek Sabah merujuk kepada gadis muda atau anak dara. Ia membawa konotasi manis, mesra dan penuh penghargaan terhadap wanita muda Sabah. Dalam konteks ini, gelaran Sumandak Sabah yang diberikan kepada pasukan debat berkenaan melambangkan kehebatan, keanggunan dan semangat juang gadis-gadis Sabah di pentas perbahasan.
Fadhlina turut menzahirkan penghargaan kepada semua peserta yang menyertai Pertandingan Debat Pendidikan Malaysia (PETAH KPM) tahun ini dan menyifatkan mereka sebagai anak-anak Generasi MADANI yang hebat.
“Kepada pasukan yang belum menang, anggaplah ia sebagai kemenangan yang tertangguh. Pasti akan ada peluang dan pentas lain untuk anak-anak,” katanya.
Beliau juga memuji pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan edisi kali ini dengan cemerlang.
“Tahniah! Ini penganjuran terbaik yang pernah saya saksikan. Teristimewa buat anak-anak juara orator, Sumandak Sabah, kalian memang onsoi!” ujarnya.
Tular di media sosial
Video pertandingan ini turut tular di media sosial ketika kedua-dua pasukan iaitu Selangor dan Sabah mempertahankan hujah awal dalam sesi pengenalan diri, apabila mereka berbalas kata tentang siapa yang selalu benar antara lelaki dan wanita.
Kedua-dua pasukan memulakan perdebatan dengan membawa usul bertajuk ‘Sistem Peperiksaan Awam Wajar Disemak Semula Demi Kemenjadian Murid’.
Sumber: Facebook Fadhlina Sidek, Youtube EduwebTV