Sultan Selangor tidak setuju garis panduan umat Islam hadiri majlis perayaan bukan Islam - The Reporter

Sultan Selangor tidak setuju garis panduan umat Islam hadiri majlis perayaan bukan Islam

Sultan Selangor garis panduan umat Islam

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan pendirian tegas Baginda untuk tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan bagi umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam, khususnya di Selangor.

Sebagai Ketua Agama Islam di Selangor, baginda berpandangan cadangan tersebut dibuat pada waktu yang tidak sesuai ketika rakyat sedang mengukuhkan hubungan muhibah dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama demi perpaduan nasional.

“Polemik yang tercetus ini sedikit sebanyak telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan boleh menjejaskan keharmonian yang telah lama terjalin,” titah Baginda dalam satu kenyataan hari ini dikeluarkan oleh Istana Alam Shah pada 8 Februari 2025.

Menurut baginda, Islam sendiri telah menyediakan garis panduan yang jelas menerusi al-Quran dan Sunnah, serta diperkukuh dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan oleh umat Islam di Malaysia. Oleh itu, isu akidah yang terpesong susulan penglibatan umat Islam dalam majlis berkenaan tidak sepatutnya timbul.

Baginda percaya umat Islam kini tahu tentang batas-batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan.

Baginda turut mengingatkan, Malaysia sebagai sebuah negara majmuk perlu mengekalkan toleransi beragama tanpa mengabaikan hakikat bahawa Islam adalah agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Bagaimanapun, baginda menasihatkan umat Islam, khususnya di Selangor, agar sentiasa memperkukuh akidah dan keimanan dengan mendalami ilmu agama, melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

“Apabila umat Islam mencapai tahap akidah yang teguh serta yakin kepada Allah, mereka tidak akan mudah terpesong atau terpengaruh dengan anasir luar,” titah Baginda.

Total
0
Shares
Total
0
Share