Sultan Selangor kagum keberanian aktivis Malaysia dalam misi kemanusiaan ke Gaza | The Reporter

Sultan Selangor kagum keberanian aktivis Malaysia dalam misi kemanusiaan ke Gaza

Sultan Selangor zahir penghargaan kepada 23 aktivis Malaysia sertai misi Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Gambar: Facebook Farhan Fauzi.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa syukur atas kepulangan 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dengan selamat ke tanah air.

Dalam satu hantaran menerusi Facebook Selangor Royal Office, baginda turut menzahirkan rasa prihatin dan simpati terhadap nasib para aktivis berkenaan yang ditahan oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa ketika dalam pelayaran menghantar bantuan ke Gaza.

Baginda juga amat menghargai dan kagum dengan usaha serta kesungguhan yang ditunjukkan oleh 23 aktivis Malaysia yang terlibat, serta kesemua misi sukarela yang dikendalikan oleh GSF, demi membantu rakyat Palestin yang masih ditindas oleh rejim Zionis.

Baca juga:

Sultan Sharafuddin turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan menguruskan pembebasan segera kesemua aktivis Malaysia melalui kerjasama erat dengan Kerajaan Türkiye.

Sebagai tanda penghargaan dan untuk merakam sejarah perjuangan kemanusiaan ini, Baginda mencadangkan agar kesemua 23 aktivis terlibat menulis dan menghimpunkan pengalaman mereka dalam sebuah buku, termasuk pengalaman sewaktu berada dalam tahanan rejim Zionis.

Walaupun misi kali ini tidak dapat menyalurkan bantuan kemanusiaan secara langsung kepada rakyat Gaza, Baginda berharap usaha berani yang dilakukan GSF dan aktivis Malaysia ini akan terus membuka mata dunia terhadap kekejaman dan penindasan berterusan rejim Zionis Israel.

Related Posts