Sultan Selangor cadang penyokong Selangor FC cetus kekacauan diharamkan masuk stadium | The Reporter

Sultan Selangor cadang penyokong Selangor FC cetus kekacauan diharamkan masuk stadium

ultan Selangor menzahirkan dukacita terhadap insiden bakar suar melibatkan penyokong Selangor FC
Gambar: Facebook Selangor Royal Office

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa terhadap insiden membakar suar di Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada 1 Februari lalu yang didakwa membabitkan penyokong pasukan Selangor FC.

Menerusi kenyataan Selangor Royal Office, Baginda, selaku Penaung Selangor FC, menegaskan tidak berkenan terhadap kegiatan tidak bermoral termasuk budaya samseng dan gangsterisme yang semakin menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya mereka yang memakai jersi pasukan Selangor FC.

Sehubungan itu, Sultan Selangor mahu pihak Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dalang di sebalik insiden berkenaan. Baginda bertitah, sekiranya individu yang terlibat didapati bersalah, mereka wajar dikenakan hukuman maksimum dan setimpal mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Baginda tidak berkenan dengan kegiatan tidak bermoral seperti budaya samseng dan gangsterisme yang kian menular di kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang memakai jersi pasukan Selangor FC,” titah Baginda.

Titah Baginda lagi, tindakan tegas itu perlu dijadikan pengajaran kepada semua penyokong Selangor FC agar insiden seumpama ini tidak berulang pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menyeru seluruh penyokong Selangor FC supaya sentiasa mengawal tingkah laku, berdisiplin serta menjaga nama baik pasukan dan negeri, sama ada di dalam mahupun di luar stadium.

Baca juga:

Baginda juga mencadangkan agar mana-mana penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan diharamkan daripada memasuki stadium dan menghadiri sebarang perlawanan membabitkan pasukan Selangor FC.

Terdahulu, beberapa rakaman tular menunjukkan penyokong Selangor FC berarak membawa bendera dan menyalakan suar di Jambatan Angkat sebelum perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus baru-baru ini.

Susulan kejadian berkenaan, 33 penyokong Selangor FC dicekup dan dibawa ke Mahkamah Majistret bagi perintah reman selepas membakar suar di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu. Kesemua mereka antara 400 yang ditahan untuk saringan, dengan 21 positif dadah dan dua memiliki ganja.

Related Posts