Suami tergamam temui mayat isteri & anak di rumah sewa | The Reporter

Suami tergamam temui mayat isteri & anak di rumah sewa

Anggota polis dan forensik sedang menjalankan siasatan di luar sebuah rumah kampung di Juru pada waktu malam selepas penemuan mayat dua beranak, disyaki dibunuh.
Polis menjalankan siasatan di lokasi tragedi di Juru selepas suami menemui mayat isteri dan anaknya di rumah sewa. | Sumber gambar: Media Malaysia

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Penduduk Kampung Sekolah Juru, Pulau Pinang dikejutkan dengan penemuan mayat dua beranak, seorang wanita berusia 51 tahun dan anak perempuannya berumur 11 tahun, di rumah sewa mereka malam tadi.

Kejadian itu disedari kira-kira jam 7.30 malam apabila suami mangsa pulang ke rumah selepas bekerja dan mendapati isterinya terbaring dengan kepala hampir putus di dapur, manakala anak tirinya ditemui meniarap berlumuran darah di tingkat atas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, berkata siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pasukan forensik kini meneliti sama ada kejadian itu melibatkan rompakan atau motif lain.

“Polis masih menjalankan siasatan terperinci dan akan mendapatkan semua bukti termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran,” katanya.

Baca juga:

Rakaman suara suami undang sebak warganet

Beberapa jam selepas kejadian, rakaman suara dipercayai milik suami mangsa tersebar di media sosial, memperdengarkan tangisannya sambil memberitahu rakan kerja bahawa isteri dan anaknya telah dibunuh. Rakaman berdurasi 18 saat itu mencetuskan rasa sebak dan simpati warganet yang turut mendoakan ketabahan lelaki tersebut.

“Assalamualaikum Daus, esok abang tak kerja tau, isteri aku dengan anak aku kena bunuh dekat rumah. Aku balik-balik tengok pintu terbuka, aku tengok bini aku melimpah darah, anak pun kena bunuh,” katanya.

Seorang jiran, Ida, 51, berkata suami mangsa datang dalam keadaan tergamam sebaik tiba di rumah.

“Dia bagi salam dua kali, lepas tu beritahu isteri dan anaknya kena bunuh. Saya meremang bulu roma, tak tahu nak kata apa,” katanya.

Sementara itu, jiran lain, Ideris, 61, berkata keluarga berkenaan menyewa di kawasan itu kira-kira dua tahun dan dikenali sebagai pasangan yang baik serta jarang menimbulkan masalah.

“Arwah isteri kerja kantin sekolah, dulu berniaga nasi lemak. Tak sangka perkara macam ni boleh berlaku di kampung kami,” ujarnya.

Siasatan diteruskan, penduduk trauma

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya kira-kira jam 1.50 pagi untuk bedah siasat. Polis masih mengumpul bukti bagi mengenal pasti motif pembunuhan. Penduduk setempat menyifatkan tragedi itu antara kejadian paling mengerikan pernah berlaku di kawasan tersebut.

“Sebelum ini paling teruk pun kes pecah rumah. Tapi ini… saya sendiri tak boleh tidur malam ni,” kata seorang penduduk yang enggan dikenali.

Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Sumber: Berita Harian, Harian Metro, Bernama, Kosmo! Online

Related Posts