'Suami Nak Duduk Dengan Ibunya, Saya Pula Serba Salah, Tidak Selesa & Mahu Berpindah' - The Reporter

‘Suami Nak Duduk Dengan Ibunya, Saya Pula Serba Salah, Tidak Selesa & Mahu Berpindah’

Seorang wanita yang baru berkahwin yang saya kenali, tinggal bersama mertuanya mengadu kepada saya. 
“Serba salah cikgu, suami nak duduk dengan ibunya kerana ibunya tak beri keizinan untuk berpindah. Di rumah itu ada adik ipar lelaki, Saya kena berkelumbung 24 jam sehingga rasa tidak terdaya nak menjaga aurat bila berada di dapur, bila buat kerja rumah. 
“Sudahlah saya bekerja, sesekali rasa tak sedap hati bila balik rumah saja, ibu mertua dah siap masak. Nak masak sebelum pergi kerja, ibu mertua tak bagi. Takut makanan menjadi sejuk katanya. 
“Kita nak makan apa yang kita suka, nak masak apa yang kita suka, bimbang orang tak suka. Serba serbi serba salah cikgu,” luahnya. 
Saya hanya mendengar dan menyelami masalahnya dan amat bersimpati. 
Bila berkahwin, hakikatnya kita berkongsi membina rumah tangga. Tetapi bila tinggal bersama dengan mertua, inilah jadinya. Saya faham yang sesetengah anak lelaki perlu menjaga ibu bapanya, tetapi jika ibu bapa masih mampu berdiri sendiri, eloklah dibiarkan anak menantu membina hidup sendiri. 
Jika mertua sudah tidak kuat dan anak menantu tinggal bersama, berilah kuasa untuk membuat keputusan mentadbir rumah kepada menantu. Kita yang sudah tua ini hanya mengikut sahaja. Jika ada anak bujang lelaki, sebaiknya elakkan anak menantu tinggal bersama kerana akan timbul masalah aurat yang sukar dijaga. 
Suami sepatutnya tidak memikirkan kepentingan diri. Berkahwin itu adalah perkongsian hidup, setiap keputusan yang dibuat perlulah menguntungkan kedua-dua pihak. Jangan hanya kerana mahu mengikut ibu bapa sendiri, keselesaan isteri pula terabai. 
Benar bahawa anak lelaki perlu patuh pada ibu bapanya, tetapi janganlah sehingga mengorbankan isteri kerana ibu bapa kita. Isteri bukan hamba abdi yang dibeli dari jualan lelong, mereka juga insan yang mempunyai perasaan. Bercinta bertahun-tahun bagai nak rak, tiba-tiba bila sudah kahwin isteri bagaikan hamba abdi seperti dalam filem klasik, P. Ramlee. 
Berbincanglah dengan ibu bapa dengan memberi hak isteri. Tidak salah suami menuntut hak isteri ketika ibu bapa menuntut haknya kerana zalim itu ditafsir meletakkan sesuatu yang bukan pada tempatnya. Jika isteri tidak diberi haknya, suami itu zalim.
Apa hak isteri? Antaranya, hak privacy, hak menjaga auratnya, keselesaannya dan sebagainya. 
Seperkara lagi yang menjadi dilema seorang menantu perempuan yang tinggal dengan mertua ialah, perbezaan budaya kekeluargaan yang memerlukan masa yang agak panjang untuk disesuaikan. Dalam proses penyesuaian inilah yang kerap berlaku perselisihan, bermasam muka, hati yang terguris dan sebagainya. Oleh itu, perbincangan sebelum kahwin patut melibatkan aspek tempat tinggal selepas berkahwin. Jangan leka berbincang tentang baju pengantin beberapa kali salin, tema perkahwinan, kek berapa tingkat, buat kenduri di rumah atau dewan dan lain-lain. 
Keputusan untuk hidup di mana, perlu dipersetujui sebelum berkahwin agar kedua-dua pihak bersetuju dan sudah bersedia. Jangan selepas kahwin baru nak buat keputusan, yang akhirnya nasi sudah menjadi bubur. Akibatnya, masing-masing bermasam muka dan hari perkahwinan hanya seronok untuk sehari dua sahaja. Belum hilang bau masam sisa lauk kenduri, pengantin dah masam di hati. 
Perancangan perkahwinan bukan setakat kenduri sahaja, tetapi harus meliputi di mana nak tinggal selepas berkahwin dan kedua-dua pihak perlu patuh. Suami tidak boleh membuat U-Turn seperti MH370 bila dia telah mendapat lesen ‘pilot’ rumah tangga dengan berbagai alasan kononnya permintaan ibu bapa dan menjadikan hukum isteri perlu taat kepada suami seperti pedang yang diangkat ke muka isteri. 
Jika kita sebagai ibu bapa, lepaskanlah anak-anak bila mereka sudah berkahwin untuk membina hidup mereka sendiri. Berpadalah kita membesarkan mereka telah berpuluh tahun, biarkanlah mereka terbang sendiri kerana Allah telah menunjukkan teladan yang banyak pada kehidupan di dunia ini bahawa suatu hari nanti, seorang ibu akan tetap terpisah hidupnya dari anaknya kerana mengejar membina kehidupannya sendiri. Wallahua’lam. – Abd Ghani Haron | PIXEL MEDIA
Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!