Suami isteri curi 20 kotak susu bernilai RM6,747 dari pasar raya, dipenjara 12 bulan - The Reporter

Suami isteri curi 20 kotak susu bernilai RM6,747 dari pasar raya, dipenjara 12 bulan

FOTO SYAFEEQ AHMAD

Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap pasangan suami isteri kerana didapati bersalah mencuri 20 kotak susu formula bernilai RM6,000 dari sebuah pasar raya, Februari lalu.

Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Azlee Ibrahim, 39, dan Noor Bayah Ab Manaf, 31, mengaku bersalah atas pertuduhanitu.

Mengikut pertuduhan, pasangan berkenaan didakwa mencuri 20 kotak susu jenama Enfalac A+ 2FL Step 1 dengan berat 2.32 kilogram dan Enfalac A+ 2FL Step 2 dengan berat 2.32 kilogram bernilai RM6,747.60 dari rak jualan tanpa kerelaan pemiliknya.

Kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya di Lebuh Ayer Keroh antara jam 5 petang hingga 7.45 malam pada 13 Februari 2023.

Kejadian itu disedari oleh pekerja pasar raya berkenaan yang semasa itu sedang menjalankan penyelenggaraan stok dan mendapati rak jualan susu jenama itu kosong.

Pekerja berkenaan kemudian membuat semakan rekod tetapi tidak menemui rekod jualan yang mendorongnya untuk memeriksa video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan pasangan itu mencuri stok susu tersebut menggunakan beg hitam.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Izzudin Ab Malik memaklumkan pasangan suami isteri itu mencuri susu tersebut disebabkan ada masalah kewangan.

Muhammad Izzuddin juga merayu agar hukuman bagi kedua-dua tertuduh bermula dari tarikh mereka ditangkap.

Tertuduh Mohd Azlee katanya hanya bekerja menjual cenderahati untuk menyara empat anaknya, manakala isterinya, Noor Bayah suri adalah suri rumah dan sedang hamil tiga bulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin membantah dan menegaskan baawa kesalahan yang dilakukan itu bukan kerana kesempitan hidup, tetapi sudah menjadi tabiat dan memohon mahkamah mengenakan hukuman berat.

Majistret Mazana kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dari tarikh pasangan itu ditangkap iaitu 16 Februari 2023.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!