![]() |
Foto Hiasan |
Seorang lelaki Syria nekad melafazkan cerai terhadap isterinya selepas wanita itu merakam dia membasuh pinggan lalu dimuat naik ke aplikasi TikTok dengan lagu latar yang menggambarkan lelaki itu dibawah kawalan isteri sepenuhnya, lapor Gulf News.
Wanita itu mengambil kesempatan terhadap suaminya yang sedang sibuk menggemas rumah dan berdiri di dapur sambil merakam video suaminya sedang mencuci pinggan.
Tindakannya menambah video tersebut dengan lagu yang dianggap sebagai provokasi itu menyebabkan suaminya hilang sabar lalu menceraikan isterinya, selepas mengetahui video tersebut tular di media sosial.
Lagu Mesaytara yang diterjemahkan kepada ‘Saya dominan’ atau ‘Saya akan mengawal awak’ dinyanyikan oleh penyanyi Sria, Lamis Kan, menjadi punca utama pasangan itu bercerai.
Rangkap awal lagu tersebut berbunyi:
“Saya dominan, awak akan diperintah di bawah arahan saya yang ketat. Saya akan membuatkan awak gila jika awak melihat gadis lain di jalanan. Ya, saya dominan. Selagi awak bersama saya, awak akan berjalan di bawah perintah saya”.
Difahamkan, ini bukan kali pertama lagu tersebut menyebabkan pasangan suami isteri bercerai. Dua lagi kes perceraian yang sama turut dilaporkan berlaku di Iraq dan Jordan.
Awal tahun lalu, Baghdad mencatatkan kes penceraian terpantas di negara itu selepas pengantin lelaki menceraikan pengantin perempuan semasa perkahwinan mereka hanya kerana memainkan lagu itu.
Dikatakan, pengantin perempuan berkenaan sedang menari mengikut irama Mesaytara. Pengantin lelaki dan keluarganya pula menganggap tindakan pengantin perempuan itu melakukan provokasi dan akhirnya mencetuskan pertengkaran yang membawa kepada perceraian.
Sumber: Gulf News