Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda (Toyota Hilux) yang dipandunya dihempap sebatang pokok besar yang tumbang secara tiba-tiba di Jalan Batang Kali petang Isnin.
Mangsa dikenali sebagai Sir Ahmad Al Faruq Bin Mohamad Fatihur Rahman, berusia 20 tahun, merupakan staf kepada usahawan dan pengasas jenama kosmetik terkenal Bonda Rozita Ibrahim, ibu kepada Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.14 petang, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 2.35 petang, didapati sebatang pokok besar tumbang menghempap sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux. Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berada di dalam kenderaan berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar.
Sementara itu, dalam satu hantaran penuh emosi di media sosial, Bonda Rozita Ibrahim meluahkan rasa pilu dan kecewa atas tragedi yang meragut nyawa staf syarikatnya itu.
Beliau menceritakan suasana hiba di lokasi kejadian yang diselubungi tangisan dan esakan rakan-rakan sekerja serta keluarga mangsa.
“Hujan lebat yang memilukan. Staf Bonda teresak-esak menangis, tak percaya apa yang mata sendiri menyaksikan. Jam 2.30 petang, dalam sekelip mata, pokok besar di jalan utama menuju ke Genting tumbang menghempap kereta Hilux milik syarikat Bonda.
“Nyawa staf kami yang masih muda, bongsu dalam keluarga, baru berusia 20 tahun, diragut dalam tragedi ngeri ini,” katanya.
Baca juga:
- ‘Makcik blower’ & ‘makcik tudung hijau’ akhirnya berdamai
- Staf maut dihempap pokok tumbang, Bonda Rozita luah rasa pilu
- 22 cedera dalam insiden mercun meletup di Paya Besar
Tahap keselamatan membimbangkan
Beliau turut menyuarakan rasa kesal terhadap tahap keselamatan di kawasan tumpuan pelancong itu, yang menurutnya kerap diabaikan oleh pihak berkuasa dan pengusaha tidak berlesen.
“Sampai bila nyawa manusia mahu dipandang ringan? Mana pihak yang sepatutnya memantau keselamatan jalan utama pengunjung? Pokok-pokok reput dibiarkan berdiri, menunggu masa menimpa mangsa seterusnya,” tegasnya.
Bonda juga menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa yang kehilangan anak tersayang, sambil menyifatkan tragedi itu bukan sekadar takdir tetapi berpunca daripada kelalaian manusia terhadap aspek keselamatan awam.
“Ini bukan sekadar takdir. Ini kelalaian manusia bila keselamatan diabaikan. Jangan diperdiamkan! Ini nyawa manusia, bukan angka dalam laporan,” katanya lagi.
Gesaan siasatan menyeluruh dan tindakan tegas
Bonda turut menggesa agar siasatan menyeluruh dijalankan terhadap punca kejadian dan menekankan agar semua pengusaha resort di kawasan tersebut lebih peka terhadap tanggungjawab keselamatan, bukan sahaja kepada pengunjung tetapi juga kepada pekerja mereka.
“Sebagai pengusaha berlesen, Bonda terikat pelbagai syarat serta pemantauan ketat oleh pihak kerajaan negeri. Tetapi yang tidak berlesen? Terus beroperasi tanpa kawalan dan tanpa tanggungjawab?”
Beliau mengharapkan agar tragedi ini dijadikan pengajaran dan memohon orang ramai sedekahkah Al-Fatihah buat arwah Sir Ahmad Al Faruq.
“Di sebalik setiap angka kematian, ada keluarga yang hancur… Ada ibu yang kehilangan, ada ayah yang hilang kekuatan, dan ada jiwa-jiwa yang takkan pernah sama lagi,” luahnya.
Sumber: Sinar Harian, Bonda Rozita Ibrahim