Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam percakapan seorang usahawan kosmetik yang memuat naik video teaser lagu raya menonjolkan beberapa penari latar melakukan aksi tidak senonoh.
Dato’ Sri Aliff Syukri Kamarzaman telah dipanggil ke Ibu Pejabat SKMM di Cyberjaya, Selangor semalam, susulan SKMM menerima aduan berhubung video teaser lagu raya yang dianggap menjelikkan itu.
“Klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dilihat sebagai kandungan yang bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multmedia 1998 (Akta 588).
“Ini termasuk Seksyen 233 yang melarang perbuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588). Jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali,” kata kenyataan itu.
Difahamkan SKMM masih menjalankan siasatan dan laporan penuh akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Pegawai penyiasat turut menyita kad sim dan satu unit telefon bimbit yang dipercayai milik Aliff, yang digunakan untuk memuat naik video tersebut, untuk membantu siasatan.








