SKMM siasat individu fitnah YDPA & PMX makan di restoran tidak halal | The Reporter

SKMM siasat individu fitnah YDPA & PMX makan di restoran tidak halal

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengesahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat beberapa kandungan media sosial yang berunsur penghinaan, termasuk seorang individu yang memfitnah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkaitan isu restoran tidak halal.

Menurut Fahmi, individu berkenaan sudah pun membuat permohonan maaf selepas kesilapannya disedari dan berharap insiden itu menjadi pengajaran penting, sambil menegaskan jika pihak berkuasa ingin mengambil tindakan, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada mereka.

“Kita akan terus memantau dan jika ada aduan daripada orang ramai, SKMM akan bertindak,” katanya.

Sebelum ini, seorang pengguna TikTok, Rayyan Wong, tular selepas mendakwa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri menikmati hidangan di sebuah restoran yang didakwanya tidak halal. Namun, dakwaan itu dinafikan dengan bukti restoran berkenaan memiliki sijil halal sah. Pengguna tersebut telah memadam video berkenaan dan tampil memohon maaf secara terbuka.

Dalam perkembangan terbaru, Rayyan Wong mengumumkan akan menutup akaun TikTok miliknya sehingga hujung bulan ini sebagai tempoh pemulihan selepas menerima kecaman hebat daripada netizen. Dia mendakwa serangan komen negatif yang diterimanya telah mencetuskan semula masalah kesihatan mental seperti PTSD dan MDD, sehingga mendorong kepada cubaan membunuh diri.

“Saya minta maaf kalau ada yang terguris hati atas perkataan yang saya lontarkan kepada kamu semua,” ujarnya.

Rayyan Wong berharap keputusan untuk berehat dari media sosial dapat memberi ruang kepadanya untuk pulih dan kembali lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan pada masa hadapan.

Sumber: Harian Metro, TikTok Rayyan Wong

Related Posts