Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Gara-gara menyiarkan berita pandangan seorang pemerhati tidak bernama kononnya kerajaan akan membuang 800,000 penjawat awam bagi mengurangkan bebanan kerajaan, Awesome TV kini terpaksa berdepan dengan siasatan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana didapati melanggar syarat perlesenan.
SKMM dalam satu kenyataan memaklumkan, satu kertas siasatan telah dibuka terhadap Awesome TV dan pihaknya memandang serius terhadap aduan pengguna dan komited mempertingkat pematuhan pemegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP-I) supaya kandungan yang disiarkan mencerminkan budaya, identiti dan norma masyarakat.
“Ia selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98) dan Kod Kandungan. Setiap aduan yang diterima akan diteliti berdasarkan peruntukan AKM 1998, peraturan yang berkaitan di bawahnya dan mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.
SKMM turut mengesahkan pihaknya telah mendapat penjelasan berhubung perkara itu dari Awesome TV dan jika didapati melanggar syarat perlesenan, mereka akan dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, portal Harapan Daily melaporkan ‘Bos’ Berita 7.57 Awesome TV telah meletak jawatan. Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed meletak jawatan sebagai Pengurus Editor Kumpulan Berita 757 yang berkuatkuasa serta-merta hari ini.
Ketua Operasi Berita 757, Sofwan Mahmood berkata, Mohamed Ilyas tidak akan mencampuri sebarang penerbitan Berita 757 dalam kapasitinya sebagai Pengurus Editor Kumpulan.
Pihaknya juga akan memulangkan kad media Jabatan Penerangan Dato Ilyas kepada pihak Puam dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Berita 757 menafikan dakwaan laporannya menyentuh isu penjawat awam pada 15 Februari 2023 berunsur palsu dan fitnah. Mereka turut mendakwa laporan tersebut telah dimanipulasikan secara jelas oleh beberapa individu di media sosial.
Sumber: Harian Metro, Harapan Daily