Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura mengeluarkan kenyataan rasmi pada 25 April 2025, mendakwa dua pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) telah mencampuri urusan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) negara itu melalui hantaran di media sosial.
Dua pemimpin terbabit, Bendahari Agung PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, didakwa memuat naik kandungan menyokong calon pembangkang Singapura serta menggesa rakyat republik itu mengundi berasaskan garis kaum dan agama.
Menurut MHA dan Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD), tindakan itu melanggar Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA) yang melarang warga asing daripada terlibat dalam sebarang bentuk iklan pilihan raya secara online.
Sebagai langkah balas, pihak berkuasa mengarahkan Meta, syarikat induk Facebook, menyekat hantaran berkaitan daripada diakses pengguna di Singapura, atas alasan menjaga keharmonian berbilang kaum dan agama di negara itu.
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, menegaskan campur tangan asing dalam politik negara tidak boleh diterima sama sekali, sambil menekankan pentingnya mengekalkan pemisahan antara agama dan politik bagi memelihara perpaduan nasional.
Sementara itu di Malaysia, tindakan kedua-dua pemimpin PAS itu menerima kritikan, termasuk daripada Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda, yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh mencalar hubungan diplomatik Malaysia-Singapura.
Mengulas dakwaan itu, Mohamed Sukri Omar menafikan niat untuk mempengaruhi pilihan raya Singapura, sebaliknya menyatakan bahawa beliau hanya menyuarakan keprihatinan terhadap nasib masyarakat Melayu-Islam di republik tersebut.








