Sindrom 'Aku paling teraniaya', fenomena senyap yang rosakkan rumah tangga | The Reporter

Sindrom ‘Aku paling teraniaya’, fenomena senyap yang rosakkan rumah tangga

Sindrom aku paling teraniaya dalam rumah tangga, fenomena senyap yang jejaskan hubungan.
Sindrom aku paling teraniaya boleh buat apa pun pasangan buat rasa tak pernah cukup. | Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


PENAFIAN: Artikel ini tidak merujuk kepada mana-mana individu, hidup atau yang telah tiada. Harap maklum.

Fenomena perasaan teraniaya dalam hubungan bukan sesuatu yang asing. Setiap pasangan memikul tanggungjawab berbeza; ada yang bekerja di luar untuk menampung kehidupan, ada yang mengurus keluarga, dan ada yang berusaha menyeimbangkan kedua-duanya.

Namun, ada ketika seseorang berasa dirinya telah berkorban lebih banyak berbanding pasangan. Perasaan ini bukanlah luar biasa kerana keletihan fizikal dan emosi boleh dirasai secara berbeza oleh setiap manusia.

Masalah hanya muncul apabila seseorang mula menjadikan dirinya sebagai pihak yang paling menderita sehingga pengorbanan pasangannya tidak lagi diiktiraf. Pola ini sering dikaitkan dengan kecenderungan psikologi yang dikenali sebagai “victimhood mindset”, iaitu cara fikir yang meletakkan diri di posisi mangsa dalam apa jua situasi, walaupun realitinya lebih kompleks.

Cara fikir ini bukan semata-mata reaksi spontan, tetapi boleh menjadi tabiat emosi yang akhirnya mempengaruhi gaya komunikasi, persepsi dan keputusan dalam rumah tangga.

Isteri menangis sambil mengendong bayinya | Gambar hiasan
Bila cinta bertukar jadi pertandingan siapa paling penat

Apabila elemen “aku paling teraniaya” mula mendominasi hubungan, rumah tangga berubah daripada kerjasama kepada pertandingan senyap tentang siapa paling letih. Pada tahap ini, apa juga usaha pasangan dianggap tidak setimpal.

Pasangan yang bekerja keras untuk menyara keluarga mungkin dituduh tidak cakna, manakala yang banyak meluangkan masa di rumah pula dianggap tidak memainkan peranan sebagai penyumbang ekonomi. Usaha untuk menyeimbangkan masa dan kewangan juga tetap dipersoal kerana keputusan dinilai bukan melalui realiti tetapi melalui emosi yang berat sebelah.

Kerosakan hubungan biasanya bermula apabila seseorang melihat pengorbanan pasangannya sebagai sesuatu yang “biasa” dan tidak layak dihargai. Hal-hal kecil yang tidak memuaskan hati dibesarkan sehingga menenggelamkan segala kebaikan yang pernah dilakukan.

Suami isteri keluar dari mahkamah syariah | Gambar hiasan

Dalam keadaan ini, komunikasi mula menjadi pasif-agresif, rasa hormat pudar dan keputusan yang besar dibuat dalam keadaan emosional. Jika tidak ditangani, ia boleh menyebabkan hubungan terperangkap dalam kitaran salah faham, tuduhan dan akhirnya membawa kepada perpisahan emosi walaupun masih tinggal sebumbung.

Keadaan ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor. Kadangkala, ia timbul kerana keletihan yang tidak diurus dengan baik dan kurangnya penghargaan daripada pasangan. Ada kalanya, pengalaman hidup terdahulu seperti trauma atau situasi membandingkan diri dengan perkahwinan orang lain turut mempengaruhi cara seseorang mentafsir keadaannya. Tidak kurang juga situasi di mana pasangan sebenarnya cuba berkongsi beban, tetapi usaha itu tidak disedari kerana tertutup oleh naratif bahawa hanya satu pihak yang menanggung segala-galanya.

Apa pun pasangan buat, tetap tak pernah cukup
Suami tertidur kelihatan selepas pulang bekerja | Gambar hiasan

Dalam situasi sebegini, perkara baik bukan lagi dilihat sebagai kebaikan, sebaliknya dianggap sekadar “tanggungjawab asas” yang tidak perlu dihargai. Pasangan mungkin menyara keluarga, memberi komitmen masa atau cuba membantu sedaya mungkin, tetapi semuanya tidak mencukupi kerana si penerima hanya menilai berdasarkan persoalan, “Apa lagi yang kau tak buat?”

Selagi naratif diri sebagai mangsa dipegang erat, maka apa sahaja usaha pasangan akan jatuh ke tahap minimum. Seseorang akan terus menapis maklumat berdasarkan apa yang mengesahkan rasa teraninya itu, dan hal ini menyebabkan penghargaan serta belas ihsan kian pudar.

Kalau nak bahagia, kena tukar mindset, bukan tukar pasangan

Dalam banyak situasi, masalah ini boleh dikurangkan melalui komunikasi dua hala yang jujur dan tenang. Menyatakan keperluan secara jelas jauh lebih baik daripada menyimpan rasa sehingga ia meletup dalam bentuk tuduhan. Penghargaan juga memainkan peranan besar dalam mengimbangi persepsi. Apabila pasangan saling mengiktiraf usaha masing-masing, walaupun kecil, ia menghapuskan rasa “aku seorang yang buat semua”.

Selain itu, menetapkan jangkaan yang realistik tentang peranan dan kemampuan setiap pihak akan membantu mengelakkan kekecewaan yang tidak perlu. Dalam hubungan yang lebih mencabar, mendapatkan khidmat kaunseling perkahwinan bukanlah tanda kelemahan, tetapi usaha matang untuk membina asas yang lebih kukuh.

Suami isteri bahagia bermain dengan anak di halaman rumah | Gambar hiasan

Akhirnya, rumah tangga bukan tentang mencari siapa yang paling banyak berkorban, tetapi bagaimana dua insan saling menyempurnakan kekurangan satu sama lain. Mindset “aku paling teraniaya” bukan semata-mata isu ego, tetapi kadangkala terhasil daripada rasa penat, sunyi dan tidak dihargai. Namun, apabila fokus hanya tertumpu pada apa yang tiada, seseorang akan menjadi buta kepada kebaikan yang sebenarnya hadir setiap hari dalam diam.

Apa yang menentukan keharmonian hubungan bukanlah jumlah tenaga yang dicurahkan, tetapi kesediaan untuk melihat, menghargai dan merawat kebaikan yang wujud antara dua hati yang sama-sama berjuang. Syukur bukanlah hadiah kepada mereka yang hidup senang, tetapi pilihan sedar untuk melihat nilai di sebalik kekurangan.

Related Posts