Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku buli yang berlaku di institusi pendidikan bawah seliaannya.
Menurut beliau, insiden buli membabitkan seorang murid di Johor yang dilaporkan media baru-baru ini dipandang serius dan siasatan perlu dilaksanakan segera agar tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Tiada kompromi terhadap salah laku buli di semua institusi pendidikan KPM. Ia mesti dikendalikan dengan adil dan telus berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadhlina berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor telah menziarahi murid berkenaan yang kini sedang menerima rawatan di hospital, sementara siasatan masih dijalankan.
Beliau turut mendoakan agar murid terbabit segera diberi kesembuhan.
Baca juga:
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- Kanak-kanak lelaki lemas, jatuh dalam Terusan Sungai Dua di Bertam
- ‘Indonesia antara negara paling selamat jika Perang Dunia III berlaku’ – Prabowo
Terdahulu, seorang wanita mendakwa anak lelakinya dibuli sehingga mengalami gegaran di bahagian otak.
Menurut wanita itu, anak lelakinya, Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, merupakan pesakit kanser hidung dan telah dipukul murid darjah enam pada 21 Februari lalu. Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila pelaku tidak berpuas hati apabila cintanya terhadap kakak mangsa ditolak.
Wanita itu turut kesal dengan mendakwa pelaku berusia 12 tahun tidak dikenakan tindakan sewajarnya kerana masih di bawah umur.








