Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, beliau menerima apa jua keputusan kerajaan dan kementerian berhubung isu rakaman video tular yang dikaitkan dengannya.
Menurutnya, perkara berkenaan sudah dimaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan serta kementerian.
“Saya pun telah memaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan dan juga kementerian perihal perkara ini. Justeru, apa jua keputusan mereka, saya terima,” katanya.
Dalam kenyataan itu, Shuhaily turut mengakui dirinya tidak sempurna, sebagaimana yang sering dinyatakannya dalam klip di media sosial.
Beliau berkata, dirinya kini tampil untuk mengakui dan berdepan kekurangan tersebut.
“Kerana pada saya, untuk mengubah sesuatu, ia mempunyai harga. Dan sekiranya harga itu adalah diri saya, maka saya bayar dengan diri saya,” katanya.
Shuhaily turut memaklumkan bahawa satu laporan polis dibuat berhubung kemungkinan wujud usaha mencemarkan imej AKPS serta namanya sendiri.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan seorang individu yang dikaitkan dengan Shuhaily sedang memarahi seorang individu lain di lokasi dipercayai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Bersama hantaran tular tersebut, turut tersebar salinan laporan polis yang memuatkan dakwaan seorang individu bahawa dirinya dikasari oleh Shuhaily.
Sumber: Kosmo








