Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Pyongyang anggap serangan ke atas Iran bukti negara tanpa senjata nuklear mudah diserang
• Korea Utara dijangka gandakan program senjata & perkuat hubungan ketenteraan dengan Rusia
• Serangan sama ke atas Korea Utara dianggap sangat berisiko kerana ancaman balasannya
Korea Utara percaya keputusan membangunkan senjata nuklear adalah langkah yang tepat, selepas melihat bagaimana Amerika Syarikat (AS) menyerang kemudahan nuklear Iran tanpa sebarang serangan balas besar.
Bagi Washington, serangan ke atas fasiliti bawah tanah Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan adalah usaha mengekang program nuklear Tehran. Tetapi bagi Pyongyang, serangan itu jadi petunjuk jelas negara yang tiada senjata nuklear mudah jadi sasaran.
Korea Utara mengecam serangan Amerika ke atas Iran dalam satu kenyataan rasmi pada Isnin, menyifatkannya sebagai “pelanggaran serius terhadap Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.”
Namun, kenyataan itu bukan dibuat oleh pemimpin tertinggi atau tokoh utama, sebaliknya oleh jurucakap peringkat pertengahan. Ini dilihat sebagai isyarat bahawa Korea Utara mahu menyuarakan bantahan, tetapi dalam nada yang berhati-hati supaya tidak terlalu menonjol atau dilihat seolah-olah mahu campur tangan secara langsung dalam konflik Iran.
Kenapa serangan ini buat Kim Jong-un lebih yakin dengan senjata nuklear?
Pakar percaya Kim Jong-un akan melihat serangan ini sebagai satu lagi bukti bahawa hanya senjata nuklear boleh melindungi negaranya daripada campur tangan asing.
Profesor Lim Eul-chul dari Universiti Kyungnam berkata, “Serangan ke atas Iran akan mempercepatkan rancangan Korea Utara untuk memperkuat senjata nuklear dan eratkan hubungan ketenteraan dengan Rusia.”
Kerjasama yang dijangka termasuk pemindahan teknologi, latihan bersama dan penggunaan sistem pertahanan Rusia. Pyongyang juga dijangka akan mempertingkatkan pertahanan udaranya selepas melihat bagaimana jet F-35 dan dron Israel mudah menembusi sistem pertahanan Iran.
Adakah AS berani lakukan perkara sama ke atas Korea Utara?
Korea Utara bukan seperti Iran. Negara itu sudah memiliki 40 hingga 50 senjata nuklear dan peluru berpandu jarak jauh yang boleh sampai ke AS.
Sejak 2022, undang-undang Korea Utara membenarkan penggunaan senjata nuklear secara awal, walaupun hanya untuk serangan biasa. Ini bermakna sebarang serangan boleh cetuskan tindak balas segera dari Pyongyang.
Malah, lokasi penting seperti reaktor Yongbyon dan kemudahan pengayaan Kangson dikatakan sangat dalam dan sukar dimusnahkan sepenuhnya, walaupun dengan bom pemusnah kubu.
Penganalisis percaya, jika AS bertindak sendiri tanpa sokongan Korea Selatan, ia boleh menghancurkan pakatan dua hala dan mencetuskan serangan balas ke atas Seoul yang hanya terletak 50km dari sempadan Korea Utara.
Sumber: Korea JoongAng Daily








