'Sepatutnya DBKL menyokong aktiviti Street Dakwah' - TITM | The Reporter

‘Sepatutnya DBKL menyokong aktiviti Street Dakwah’ – TITM

Tuan Ibrahim Tuan Man mengulas tindakan DBKL menutup reruai Street Dakwah MRM di Bukit Bintang.
Gambar: Utusan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man, menyuarakan kekesalan terhadap tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menutup dan merampas reruai Street Dakwah anjuran Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Bukit Bintang pada cuti Tahun Baharu Cina.

Menurut beliau, tindakan tersebut seperti dimaklumkan oleh pendakwah, Firdaus Wong, amat dikesali dan menimbulkan pelbagai persoalan. Katanya, MRM merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang telah menjalankan aktiviti Street Dakwah di lokasi berkenaan sejak lebih 14 tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu, jelasnya, aktiviti yang dilaksanakan bersifat penerangan dan pendidikan bagi memberi kefahaman mengenai Islam kepada masyarakat umum, termasuk golongan belum Muslim dan Muslim. Malah, dakwanya, program tersebut dijalankan tanpa mengganggu lalu lintas atau menjejaskan ketenteraman awam.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan tindakan menghantar sejumlah pegawai untuk menutup serta merampas bahan dakwah tanpa sebarang notis atau saman. Tuan Ibrahim turut membangkitkan persoalan sama ada aktiviti dakwah Islam kini dianggap sebagai satu kesalahan, sedangkan Islam ialah agama Persekutuan dan kebebasan beragama dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut menyatakan bahawa pihak MRM mendakwa tidak dimaklumkan mengenai sebarang keperluan pematuhan atau syarat tertentu bagi membolehkan aktiviti Street Dakwah dijalankan. Justeru, timbul persoalan sama ada tindakan itu benar-benar berasaskan pematuhan undang-undang atau sebaliknya dilihat sebagai reaksi terhadap kelantangan Firdaus Wong dalam memperjuangkan isu berkaitan hak dan kepentingan Islam sejak kebelakangan ini.

“Perkara ini wajar dijelaskan secara tuntas oleh DBKL bagi mengelakkan sebarang persepsi yang tidak baik,”katanya.

Baca juga:

Dalam pada itu, beliau berpandangan tindakan penguatkuasaan yang pantas terhadap reruai dakwah berkenaan dilihat berbeza berbanding reaksi terhadap pelbagai gejala sosial yang didakwa lebih ketara dan terbuka di sekitar ibu kota.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim menggesa DBKL memberikan penjelasan yang telus berhubung tindakan berkenaan serta memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil, konsisten dan profesional. Tegasnya, kepercayaan rakyat terhadap institusi awam bergantung kepada tahap ketelusan dan keadilan dalam setiap tindakan yang diambil.

“Diharapkan DBKL dapat memberikan penjelasan yang telus berhubung tindakan ini serta memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil, konsisten dan profesional. Kepercayaan rakyat terhadap institusi awam bergantung pada ketelusan dan keadilan dalam setiap tindakan yang diambil,”ujarnya.

Related Posts