Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil menegaskan semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun seperti yang dijamin Perlembagaan termasuk bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyertai Himpunan Tangkap Azam Baki di ibu negara pada Ahad.
Menurut beliau, setakat ini tiada perbincangan dalaman parti berhubung tindakan bekas Timbalan Presiden PKR itu.
Memetik laporan Berita Harian, Fahmi berkata, berdasarkan makluman Ketua Polis Kuala Lumpur, kehadiran sekitar 150 hingga 200 peserta tidak menimbulkan sebarang insiden keselamatan, sekali gus tidak menjadi isu besar. Tambahnya, Setiausaha Agung parti juga belum menerima sebarang aduan rasmi berkaitan perkara itu.
Baca juga:
- ‘Semua rakyat punyai hak untuk berhimpun termasuk Rafizi’
- ‘Ramai lagi dalam ‘radar’ misi perangi rasuah – YDPA
- ‘Kita akan turun berkali-kali sehingga Azam Baki turun’
Dalam perkembangan sama, Fahmi memaklumkan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki akan diserahkan kepada Jawatankuasa Khas Siasatan yang telah dibentuk Jemaah Menteri sebelum himpunan berkenaan diadakan.
Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan tidak boleh menafikan tindakan tegas SPRM dalam membanteras rasuah, kartel dadah serta kegiatan pengubahan wang haram kebelakangan ini. Mengambil semangat Ramadan, Fahmi menyeru semua pihak agar bermuhasabah kerana tiada siapa yang sempurna, termasuk pemimpin negara.
“Mana ada yang sempurna. Saya tidak sempurna, Perdana Menteri pun tak sempurna, Rafizi tak sempurna, Azam pun tak sempurna.
“Jadi, bulan Ramadan ini, kita diajar untuk bermuhasabah, saya harap semua akan bermuhasabah diri masing-masing,” katanya.









