'Sekolah seharusnya jadi tempat paling selamat' - MB Selangor | The Reporter

‘Sekolah seharusnya jadi tempat paling selamat’ – MB Selangor

Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan kenyataan rasmi berhubung insiden pelajar ditikam maut di SMK Bandar Utama Damansara (4), menyeru agar keselamatan sekolah di Selangor dipertingkatkan segera.
Gambar: Astro Awani

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menzahirkan rasa dukacita susulan insiden tragis melibatkan kematian seorang pelajar perempuan yang ditikam oleh pelajar lelaki di SMK Bandar Utama Damansara (4), Petaling Jaya pagi tadi.

Dalam kenyataan media hari ini, beliau berkata pihaknya telah berhubung dengan Ketua Polis Selangor yang mengesahkan siasatan sedang dijalankan dan menegaskan kes tersebut tidak melibatkan unsur perkauman.

“Sebagai seorang ayah yang turut mempunyai anak perempuan, saya tidak dapat membayangkan situasi yang sedang dilalui oleh ibu bapa mangsa. Saya mengucapkan takziah kepada mereka dan mendoakan agar diberi kekuatan serta perlindungan dalam menghadapi tragedi ini,” katanya.

Baca juga:

Amirudin turut menegaskan bahawa keselamatan pelajar di sekolah perlu diberi keutamaan sepenuhnya. Beliau berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan Malaysia serta komuniti setempat bagi mempertingkat tahap keselamatan di semua sekolah di Selangor dengan segera.

“Sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita. Perkara ini akan menjadi keutamaan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, termasuk langkah-langkah keselamatan dan sokongan kesihatan mental pelajar,” jelasnya.

Terdahulu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut selepas dipercayai ditikam oleh seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, di sini, pagi tadi.

Related Posts