Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dalam kesibukan kota dan perubahan gaya hidup masa kini, nasib pemandu teksi tradisional semakin terpinggir. Bukan sahaja terpaksa bersaing demi mencari pelanggan, malah berdepan pula dengan risiko ditipu penumpang sendiri.
Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok berkongsi pengalaman menyentuh hati bersama seorang pemandu teksi warga emas yang sering menjadi mangsa penipuan penumpang, khususnya pelajar universiti.
Menerusi video dimuat naik oleh pengguna @dila_dilala, beliau menceritakan detik perbualannya bersama seorang pemandu teksi berbangsa Cina ketika menaiki teksi dari stesen LRT ke rumah kerana malas menunggu perkhidmatan e-hailing.
Menurut perkongsiannya, pemandu teksi tersebut kelihatan ramah dan banyak bercerita sepanjang perjalanan, termasuk berkongsi kisah pahit apabila sering ditipu oleh penumpang.
Katanya, ada penumpang yang berpura-pura mengimbas kod QR untuk membuat bayaran, namun sebenarnya langsung tidak membayar tambang. Lebih mengejutkan, pemandu teksi tersebut mendakwa kebanyakan yang berbuat demikian merupakan pelajar universiti, golongan yang sepatutnya berpendidikan dan tahu membezakan antara betul dan salah.
Dila menzahirkan rasa sedih dan kecewa apabila mendengar cerita tersebut. Menurutnya, pemandu teksi itu tidak kisah sekiranya penumpang memberitahu keadaan sebenar seperti wang yang tidak mencukupi.
Malah, dia sanggup memaafkan dan tidak mengenakan bayaran. Namun, apabila penipuan dilakukan secara terancang, lebih-lebih lagi oleh mereka yang dianggap terpelajar, ia amat melukakan hati.
“Jadilah orang yang bertanggungjawab, kesian tau orang tua cari duit nak makan”, tulis Dila, merujuk kepada keadaan pemandu teksi itu yang masih gigih memandu teksi meskipun sudah berusia.
Kehadiran perkhidmatan e-hailing juga telah memberi kesan kepada pendapatan pemandu teksi, menjadikan jumlah pelanggan harian semakin berkurangan. Maka, setiap tambang yang diterima amatlah berharga buat mereka.
Perkongsian ini telah menyentuh hati ramai pengguna TikTok yang menontonnya, dengan ribuan komen dilihat mengecam sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu yang sanggup menipu demi menjimatkan beberapa ringgit.








