Walaupun berdepan dengan pelbagai spekulasi, namun tiket jualan konsert kumpulan Coldplay dikatakan telah habis dijual.
Salah satu penganjur konsert, Live Nation mengumumkan penjualan tiket ditutup kira-kira 1 tengah hari Rabu, iaitu kurang empat jam selepas jualan umum dibuka pada jam 10 pagi.
Pada Selasa, prajualan tiket konsert Coldplay menyaksikan 400,000 peminat yang menunggu untuk membeli tiket secara maya, sekali gus mencipta rekod baharu buat penganjur Go Live Asia.
Syarikat tersebut juga menjelaskan aliran trafik di laman sesawang dan aplikasi pembelian tiket menjadi perlahan akibat jumlah trafik yang tinggi.
Permintaan yang tinggi juga menyebabkan ‘scalper’ mengambil peluang menjual tiket dengan harga yang lebih tinggi. Dikatakan kumpulan scalper ini menjual semula tiket dengan harga mencecah RM 43,000.
Sehubungan itu, Live Nation memberi amaran kepada umum supaya tidak membeli tiket daripada pihak atau syarikat yang tidak sah, seperti Viagogo dan Carousell.
“Dengan membeli tiket melalui cara-cara jualan yang tidak sah, pembeli mengambil risiko memandangkan kesahihan tiket tidak dapat disahkan dengan bayaran balik tidak dibenarkan.
“Kami tidak akan dipertanggungjawabkan atas sebarang pembelian melalui saluran yang tidak sah,” menurut Live Nation.
Rentetan isu itu juga, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil melalui ciapan di Twitter akan mengambil tindakan dengan isu ini.
Rata-rata netizen bukan sahaja mengeluh dengan sistem penjualan daripada penganjur konsert, malahan kewujudan ‘scalper’ ini juga menyebabkan ramai yang tidak berpeluang untuk membeli tiket dengan harga seperti yang ditawarkan.
Ada juga yang mencadangkan agar mengharamkan penggunaan bot dalam pembelian tiket dan hanya menggunakan sistem semakan kad pengenalan sebelum masuk ke stadium. Turut dicadangkan adalah tindakan undang-undang yang perlu dilakukan ke atas kumpulan scalper ini.
Sumber: Astro Awani, Gempak, Fahmi Fadzil