Sayu Hati, Tiada Seorang Pun Merindui Masakan Ibu - The Reporter

Sayu Hati, Tiada Seorang Pun Merindui Masakan Ibu

Semalam saya menerima emel panjang dari seorang isteri dan ibu. Keluhannya bercampur baur, namun akhirnya saya mengerti segala isi hatinya. Barangkali ia boleh diambil sebagai iktibar dan menjadi peringatan. Malah ada sesuatu yang kita boleh belajar. 
Ini emel yang dihantar kepada saya:
Puan, sewaktu di zaman bujang, saya seorang yang periang, ceria dan disukai oleh rakan-rakan serumah mahupun di pejabat. Saya sangat gemar memasak dan setiap hari sayalah yang menjadi chef di dapur rumah bujang kami. Di hujung minggu pula, saya suka menjamu tetamu. Setiap hidangan pasti akan menerima pujian. 
Namun, segalanya berubah apabila saya sudah berumahtangga. Bebanan tugas di pejabat, urusan rumahtangga serta beban pengajian membuatkan saya bertukar karekter. 
Di rumah, saya jarang sekali memasak untuk suami. Pada awal perkahwinan juga, suami kerap menegur setiap hidangan saya dan sering membanding dengan masakan ibunya. Dia pernah meminta saya mempelajari masakan ibunya yang pada pandangan saya hanyalah biasa-biasa sahaja. 
Contohnya, suami mahu saya merebus ikan terlebih dahulu sebelum mengorengnya. Sedangkan pada fikiran saya, ia satu kerja yang renyah dan menyusahkan. Banyak lagi perkara lain yang perlu dilakukan dan saya sukar menerima teguran. 
Anak-anak pula banyak karenah. Meminta masak itu dan ini, sedangkan saya keletihan kerana bebanan kerja dan bebanan tugasan pengajian. Akhirnya suami membuat keputusan untuk makan di luar sahaja. Jika ada tetamu yang datang, suami akan menempah makanan. Anak-anak pula diajar makan makanan segera. Saya berasa lega. 
Begitulah keadaan kami untuk tempoh yang lama. Kini saya dan suami sudah bersara. Anak-anak pula semuanya telah berumahtangga. Kami sedang mengharungi kehidupan yang sunyi, tiada komunikasi. Ketika duduk berdua, saya pernah menyuarakan keinginan memasak untuk suami. Namun dia menolak.
“Tak apalah, kita makan di kedai sahaja,” katanya. 
“Abang mahu saya bancuhkan kopi?” saya tawarkan diri. 
“Tak apalah, nanti saya buat sendiri,” jawabnya.
Apabila anak-anak pulang bercuti, mereka berpakat-pakat makan di restoran. Ketika di hari raya, mereka menempah juadah atau isteri masing-masing membawa makanan sendiri. Tindakan mereka membuatkan saya rasa terpinggir. Pernah beberapa kali saya menyediakan makanan apabila diberitahu yang mereka akan pulang.
“Laa mummy, kenapa susah-susah? Kami sudah makan dalam perjalanan tadi,” kata anak saya. 
Jadinya, makanan yang saya masak dengan hati yang gembira, tidak dijamah. Tiada seorang pun yang merindui masakan ibunya. Sayu hati saya apabila mengenangkannya. Lebih sayu lagi apabila anak perempuan saya langsung tidak pandai memasak. Sedangkan ketika saya berada di usianya, sudah mahir memasak pelbagai juadah.
Apabila saya ke rumah mereka, anak perempuan kami terkial-kial membantu suaminya di dapur. Dia menyiang ikan dengan penuh susah payah. 
Hati saya remuk, lebih remuk lagi apabila suami tidak mahu dimasakkan apa-apa sedangkan apabila saya ke dapur, saya melihat dia menyediakan makanan dan makan sendiri. Masakan yang biasa disediakan oleh arwah ibunya!
Rasa penuh kekesalan di hati ini. Hebat bagaimanapun masakan kita, jika tidak disuapkan ke mulut anak-anak dan suami, ia tidak bererti. Sesungguhnya masakan ibu mampu menjalinkan perhubungan ibu dan anak. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh dikenang oleh anak-anak suatu hari nanti. Ada ilmu yang boleh diturunkan menjadikan ia bermanfaat. – Roza Roslan | PIXEL MEDIA
Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!