'Saya sah diceraikan talak satu' - Guru kecewa rumah tangga musnah angkara permohonan bertukar tidak diluluskan - The Reporter

‘Saya sah diceraikan talak satu’ – Guru kecewa rumah tangga musnah angkara permohonan bertukar tidak diluluskan

Gambar hiasan (Artificial Intelligence)

Seorang guru yang berkhidmat di negeri metropolitan selama 12 tahun telah berkongsi pengalaman pahitnya dalam proses pertukaran ke negeri kelahiran melalui sebuah hantaran di media sosial.

Guru tersebut yang memilih untuk tidak dikenali, telah berkongsi pengalamannya dalam sebuah kumpulan Facebook yang dikenali sebagai “e-Gtukar Pertukaran Guru – Oh e-Gtukar!”.

Dalam pos tersebut, guru itu menceritakan tentang cabaran yang dihadapinya dalam proses pertukaran, termasuk kegagalan berulang kali dalam permohonan pertukaran walaupun telah mengikuti semua garis panduan yang ditetapkan oleh pihak jabatan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Banyak kali mohon, tetapi gagal

“Saya tahu penulisan dan luahan saya ini tidak penting di mata Menteri Pendidikan mahupun pegawai atasan. Namun saya yakin keluarga pendidik di dalam ini tahu derita yang kita rasa.

“…banyak kali memohon egtukar untuk kembali ke pangkuan suami tercinta. Suami di negeri kebal, berniaga di sana. Dua minggu sekali saya gagahkan diri membawa dua anak istimewa saya, memandu seorang seorang diri pulang ke sana. Tak mudah nak menguruskan anak istimewa, kena kuat,” katanya.

Selain itu, guru tersebut juga mendedahkan tentang masalah peribadi yang dihadapinya, termasuk perceraian dan skandal suaminya.

“Semalam saya sah diceraikan talak satu. Sepanjang kami PJJ (hubungan jarak jauh), saya baru dapat tahu suami mempunyai skandal dan pernah tidur dengan perempuan lain sejak dua tahun lalu.

“Dia memilih perempuan itu atas dasar dekat dan mampu memberikannya kasih sayang. Sedangkan saya jauh, banyak kali memohon untuk kembali tinggal bersama, namun tetap gagal,” katanya.

Pernah rasa putus asa tetapi…

Dalam tahun yang sama, dia melihat guru-guru lain sama ada yang sudah berkeluarga atau masih bujang, berjaya kembali ke negeri masing-masing. Berbanding dirinya yang masih menunggu rezeki untuk mendapat giliran tersebut.

“Ya.. bukan rezeki saya. Saya reda dengan ketentuan Allah aturkan untuk saya. Pernah rasa ingin membunuh diri, namun bila lihat anak-anak istimewa, saya menangis.

“Saya yang memilih untuk menjadi pendidik, saya perlu hadap. Doakan saya kuat, semoga ada sinar rezeki untuk saya dan sahabat-sahabat pendidik yang berjuang egtukar,” ujarnya.

Luahan tersebut mendapat perhatian dan menimbulkan banyak reaksi netizen. Ramai yang memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepada guru berkenaan.

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!