Namanya kini menjadi sebutan bukan kerana lakonannya, tetapi peminat di India mula bercerita mengenai dirinya yang didakwa dalam penglibatan rasuah gara-gara mahu ‘menyelamatkan’ anak lelakinya.
Shah Rukh Khan (SRK) didakwa telah memberikan rasuah kepada pegawai Biro Kawalan Narkotik (NCB), sebagai ganjaran untuk menggugurkan pertuduhan kes dadah membabitkan anak lelakinya, Aryan Khan.
Pegawai Anti-Dadah, Sameer Wakkhede, telah ditawarkan dengan wang berjumlah berjumlah 250 juta rupee (kira-kira RM13 juta).
Lebih mengejutkan, perbualan Sameer dan seorang lelaki dipercayai SRK di aplikasi WhatsApp mula tersebar di media sosial sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.
Dalam perbualan itu, SRK menghantar mesej panjang lebar merayu agar nama anaknya digugurkan daripada siasatan mengambil dadah ketika di atas kapal pelayaran pada Oktober 2021.
Sementara itu menerusi laporan dari Indian Express, SRK ada menyatakan kes yang melibatkan anaknya itu merupakan campur tangan politik yang sengaja mahu merosakkan kes anaknya.
Susulan dakwaan itu juga, ramai yang menyatakan isu tersebut bukan rekaan atau gosip semata kerana berdasarkan gaya hidup mewah ditampilkan Sameer selain kerap bercuti di luar negara dipercayai menggunakan wang rasuah.
Aryan, 25 tahun, ditahan bersama tujuh rakan lain termasuk dua wanita di sebuah kapal pelayaran di pantai Mumbai pada Oktober 2021 atas dakwaan penyalahgunaan dadah.
Dia bagaimanapun dibebaskan selepas 28 hari ditahan dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang bukti penglibatannya.
Kertas pertuduhan yang difailkan di mahkamah oleh agensi itu menamakan 14 tertuduh dalam kes berkaitan tetapi menggugurkan enam yang lain termasuk Aryan kerana kekurangan bukti.
Sumber: Sinar Harian, Indian Express