'Saya masih menantikan keadilan buat anak saya yang diliwat oleh ustaz lebih 2 tahun lalu' - Ibu mangsa - The Reporter

‘Saya masih menantikan keadilan buat anak saya yang diliwat oleh ustaz lebih 2 tahun lalu’ – Ibu mangsa

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Selama dua tahun menantikan keadilan, seorang wanita yang juga merupakan ibu kepada seorang anak lelaki yang menjadi mangsa liwat ustaz di tahfiz Pulau Pinang meluahkan rasa kecewa kerana kes tersebut seolah dipandang sepi.

Norsuraya Mohd Noor berkata, luahan itu bukanlah berniat untuk mencemarkan nama baik pusat-pusat tahfiz sedia ada, tetapi dia mahu menuntut keadilan bagi pihak anaknya.

2 tahun menunggu keadilan buat anaknya

“Saya seorang ibu yang menantikan keadilan buat anak lelaki yang diliwat lebih 2 tahun lalu di sebuah tahfiz di Pulau Pinang. Tujuaan saya post bukan sebab nak menjatuhkan tahfiz yang sedia ada, tetapi untuk mendapatkan keadilan buat anak lelaki saya.

“Walau apa pun yang jadi pada anak lelaki saya, saya tetap hantar anak perempuan saya belajar di sekolah agama swasta. Hancur hati seorang ibu untuk melihat anak tersayang menjadi seorang Hafiz. Dan hancur impian seorang anak untuk melanjutkn pelajaran ke Mesir,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Si pelaku minta ibu mangsa fahami keadaannya

Norsuraya turut berkongsikan gambar tangkap layar perbualannya melalui aplikasi WhatsApp dengan ustaz tersebut yang meminta pertimbangan keluarga mangsa memahami situasi yang dihadapinya.

“Saya faham perasaan akak sebagai seorang ibu dan saya pun faham keadaan Aidil tapi saya nak minta tolong pertimbangkan keadaan keluarga saya.

“Bapa saya baru sahaja jalani pembedahan di kepala dan ibu saya pun sakit. Saya takut keadaan mereka kalau isu ini tersebar,” rayu ustaz tersebut.

Lelaki berkenaan mengakui perbuatannya sebagai satu perbuatan yang terkutuk dan memohon untuk diberikan peluang buat keluarganya memandangkan madrasah tersebut telah pun ditutup.

Ibu mangsa rayu bantuan orang awam

Susulan dengan itu, ibu tunggal berkenaan memohon bantuan daripada mana-mana pihak yang sudi tampil membantunya menegakkan keadilan buat anaknya kerana dia tidak berkemampuan untuk mendapatkan khidmat peguam.

“Saya sebagai ibu kepada pelajar tahfiz yang telah diliwat dan dianaiya, ingin memohon perhatian agar kes ini dapat diviralkan. Agar pihak atasan pandang dan ada pihak yang sudi bantu saya.

“Saya telah menunggu sejak dua tahun lalu, namun kes masih tidak berjalan dan sering ditangguhkan tanpa alasan munasabah.

“Walaupun sudah terbukti di hospital yang anak saya memang telah diliwat, si pelaku masih bebas di luar selepas dibenarkan diikat jamin. Perjalanan kes ini juga terpaksa ditangguhkan dengan pelbagai jenis alasan yang sama seperti hakim sibuk dan mesyuarat. Kalau sekali dua, saya boleh faham. Tetapi ini sudah berlarutan selama dua tahun.

“Semoga ada pihak yang sudi membantu saya membela nasib anak saya yang telah berubah sejak kejadian hitam tersebut.

“Semoga si pelaku didakwa setimpal dengan perbuatan terkutuknya agar tidak ada lagi mangsa yang terima senasib anak saya,” katanya.

Sumber: Norsuraya Mohd Noor

Total
0
Shares
Total
0
Share