Pelakon Rosyam Nor semalam, telah mencetuskan kontroversi dengan mengatakan bahawa, rumah pelacuran perlu diwujudkan untuk pendatang asing di Malaysia.
Menurutnya, ini adalah kerana mereka sudah lama tidak melakukan hubungan seks dan ini boleh membantu mencegah kejadian rogol yang membabitkan warga asing.
“Namanya pun lelaki. Kalau dia tak ‘keluarkan’, dia nak tonjol kat mana? Dia tengok anak bini kita, anak dara kita, silap-silap dia rogol. Boleh jadi sampai ke tahap itu.
“Bila ada rumah pelacuran, mereka sekurang-kurangnya pergi bayar di sana. Ini pandangan peribadi saya”.
Beliau membuat kenyataan ini dalam sesi Podcast Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik di akaun TikTok Suhan Channel Official.
Galakkan buat maksiat
Bagaimanapun, kenyataan Rosyam itu telah menimbulkan reaksi keras dari Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor yang berpendapat bahawa cadangan tersebut tidak membantu mengurangkan kes rogol yang melibatkan warga asing. Sebaliknya ia akan mengundang lebih banyak masalah.
Tegasnya, cadangan tersebut juga bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai negara yang menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaannya.
Malah saranan Rosyam itu jelas merupakan satu galakan kepada perbuatan maksiat. Sedangkan semua masyarakat Islam tahu bahawa zina adalah suatu jenayah yang boleh mengakibatkan kerosakan besar kepada individu, keluarga dan masyarakat.
“Saya amat terkejut dengan saranan oleh seorang pelakon beragama Islam agar disediakan rumah pelacuran untuk pekerja asing di negara ini.
“Saranan sedemikian jelas merupakan satu galakan kepada perbuatan maksiat dan kita yakin semua masyarakat Islam tahu bahawa zina adalah suatu jenayah yang boleh mengakibatkan kerosakan besar kepada individu, keluarga dan masyarakat.”
Beri peringatan, bukan galakkan
Datuk Seri Wan Salim juga menekankan bahawa, al-Quran melarang keras perbuatan zina dan menganggapkannya suatu amalan keji. Dan orang ramai sepatutnya mengingatkan pekerja asing tentang bahaya melibatkan diri dalam perlakuan seperti ini, serta kesan buruknya ke atas semua pihak.
“Al-Quran melarang keras perbuatan zina serta menganggapkannya suatu amalan keji (fahisyah) dan jalan paling buruk yang dilalui oleh manusia di dalam kehidupan ini.
“Sepatutnya kita mengingatkan pekerja asing tentang bahaya melibatkan diri dalam perlakuan seperti ini, serta kesan buruknya ke atas semua pihak.” katanya.
Sumber: TikTok, Malaysia Gazette