Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
YouTuber Isa Isarb baru-baru ini melancarkan program ‘Hero Teladan’ yang menempatkan peserta lelaki dan perempuan tinggal serumah dengan cabaran tanpa menggunakan gajet selama 77 hari. Program tersebut menjanjikan hadiah wang tunai RM40,000 kepada peserta yang berjaya mengharungi cabaran itu.
Namun, program itu dikecam netizen kerana penempatan tempat tidur peserta perempuan berhampiran dengan peserta lelaki, yang hanya dipisahkan dengan dinding tambahan.
Kecaman bertambah buruk apabila tersebarnya video para peserta menari sakan menikmati muzik. Selain itu, kamera rakaman litar tertutup (CCTV) yang dipasang juga menghala ke tempat tidur peserta wanita.
“Apa benda ni? Campur perempuan lelaki satu hal. Rumah besar-besar, katil double decker. Baik buat konten kat asrama je,” kata netizen.
“Yang aku pelik, ada pula mak bapak yang bagi anak-anak diorang join benda bodoh macam ni ek?” tambah netizen lain.
Isa akui salah, akan bertanggungjawab
Menyedari program itu dikecam, Isa tampil memberi penjelasan dan mengakui apa yang dilakukannya itu adalah salah.
“Ya betul salah. Saya buat sebab.. fikir challenge. Alright, yang ini (peserta) bukan team, creator, influencer di bawah syarikat saya. Ini adalah challenge sebenarnya. Siapa yang berjaya duduk 77 hari tanpa telefon dekat rumah, dia akan menang RM40,000,” kata Isa.
Isa juga mengumumkan bahawa dia mungkin akan membatalkan program ini serta-merta dan semua peserta akan diminta balik. Namun, dia menegaskan bahawa dia tidak akan membiarkan peserta menanggung rugi dan hadiah tetap akan diberikan kepada mereka.
“Saya mengambil tanggungjawab dan mungkin saya akan membatalkan program ini serta-merta. Sekejap lagi saya akan pergi buat pengumuman. Ada beberapa dokumentasi yang perlu dibuat dan selepas itu saya akan batalkan program tersebut hari ini. Semua peserta akan diminta balik.
“Tetapi saya tak bagi mereka menanggung rugi, hadiah tetap akan diberikan kepada diorang. Mungkin bukan seorang sahaja yang dapat hadiah itu, mungkin akan dibahagikan.
“Rugi, memang rugi besar gila. Anggaran kerugian sebanyak RM500,000 lebih. Tapi tak apa, salah tetap salah,” kata Isa, yang turut menunjukkan set kelengkapan studio yang telah disediakan untuk menjayakan program tersebut.
Pengajaran yang paling mahal
Namun, angka tersebut tidak termasuk kos tenaga kerja dan segala barang kelengkapan.
“Tak kisahlah, rugi tetap rugi. Tetapi saya akan ambil pengajaran daripada apa yang berlaku dan bergerak ke hadapan. Saya rasa ini adalah kerugian yang paling besar, sebab challenge tengah jalan tapi kena stop. Barang-barang yang disediakan bukan untuk buat konten YouTube, tetapi untuk buat live production,” kata Isa.